Timbalan Menteri Pertahanan lapor polis kenyataan Rafizi

Ikmal Hisham
Ikmal Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz membuat laporan polis terhadap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang didakwa memfitnahnya dalam isu tender bagi pembekalan sistem meriam artileri jenis self-propelled Howitzer (SPH) Tentera Darat Malaysia (TDM).

Laporan tersebut dibuat Setiausaha Sulitnya, Mohammad Iskandar Idris di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Jumaat.

Ikmal Hisham berkata, laporan polis dibuat susulan fitnah dan tohmahan yang dibuat Rafizi terhadap dirinya menerusi satu artikel bertajuk 'Batal Niat Surat Anugerah Kontrak Meriam SPH Kepada Syarikat Ada Kaitan Anak Menteri' yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook pada 7 Oktober.

Jelas Ikmal Hisham, artikel yang mengaitkan namanya dengan sebuah syarikat itu adalah fitnah semata-mata.

"Apa yang didakwa menerusi artikel tersebut merupakan pembohongan yang bertujuan politik bagi mencemarkan nama baik saya," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, sebagai Timbalan Menteri Pertahanan, beliau tidak mempunyai kuasa dalam menentukan atau mempengaruhi pemilihan syarikat di dalam mana-mana perolehan kementerian.

"Ini memandangkan Kementerian Pertahanan telah menetapkan setiap perolehan aset dan kelengkapannya yang baharu mempunyai proses kerja yang perlu dipatuhi dan perlu diperakukan oleh pengguna sendiri iaitu TDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Ia dilakukan sebelum sebarang perolehan dilaksanakan dan seterusnya dikemukakan kepada agensi pusat seperti Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan untuk kelulusan perolehan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tohmahan yang dibuat Rafizi bertujuan merosakkan nama serta menyemarakkan kebencian orang ramai terhadap dirinya.

"Saya menyerahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyiasat serta mendakwa Rafizi melalui peruntukan undang-undang sedia ada.

"Apa yang dinyatakan Rafizi ini bermotif politik apatah lagi dalam keadaan negara dijangka mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 tidak lama lagi," katanya.

Tegas Ikmal Hisham, beliau sedia memberikan kerjasama dalam sebarang siasatan yang dijalankan oleh mana-mana agensi khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).