[VIDEO] Bajet 2023: Murid terima RM150 bantuan awal persekolahan

Bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 bakal diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapa.
Bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 bakal diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 bakal diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapa pada Januari tahun depan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebanyak RM825 juta diperuntukkan untuk bantuan berkenaan berbanding RM450 juta tahun lalu.

Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada peruntukan disediakan bagi Kementerian Pendidikan iaitu sebanyak RM55.6 bilion dalam bajet 2023.

"Pendidikan ialah pelaburan terbaik bagi membina masa depan negara yang cerah. Kementerian Pendidikan akan terus menerima peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM55.6 bilion berbanding RM52.6 bilion tahun ini.

"BAP selama ini telah meringankan beban ibu bapa berpendapatan RM3,000 ke bawah untuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak.

"Bermula tahun ini, kadar BAP telah dinaikkan kepada RM150 berbanding RM100. Bagi tahun hadapan 2023, sukacita diumumkan, Bantuan Awal Persekolahan akan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapanya," katanya dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.

Belanjawan bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion itu merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Dalam pada itu, menurut Tengku Zafrul, kerajaan turut menambah baik Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan dengan menyediakan bekalan susu pada setiap hari persekolahan anak-anak.

Artikel Berkaitan:

"Bagi terus menambah baik program ini, kerajaan akan menaikkan kadar makanan bermasak RMT daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung dan RM3 kepada RM4 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan berkuat kuasa pada bulan ini.

"Sejumlah RM777 juta disediakan iaitu peningkatan signifikan berbanding RM280 juta pada tahun 2020 atas peluasan penerima, kenaikan kadar dan penyediaan bekalan susu setiap hari.

"Dengan itu, lebih 800 ribu murid serta 7,300 pengusaha makanan dan pembekal susu tempatan akan menerima manfaat daripada penambah baikan ini,"katanya.