[VIDEO] Bajet 2023: BKM ditambah kepada RM2,500

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kenaikan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sehingga RM2,500 pada tahun hadapan.

Beliau berkata, pemberian bantuan BKM keseluruhannya akan memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima melibatkan peruntukan RM7.8 bilion.

"BKM 2023 ialah bantuan komprehensif yang ditambah baik dengan ketara jika dibandingkan Bantuan Sara Hidup 2020 dengan lima juta penerima dan peruntukan RM5 bilion," katanya dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.

Belanjawan bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion itu merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Tengku Zafrul menjelaskan, pelaksanaan BKM itu ditambah baik kerana kerajaan menyedari manfaat yang diraih daripada pemberian bantuan tunai langsung.

"Dengan itu, untuk tahun hadapan isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan menanggung lima orang anak atau lebih, layak menerima BKM sebanyak RM2,500.

"Ini ialah kategori baharu sebagai usaha kerajaan meringankan beban keluarga yang menyara ramai anak," tambah beliau.

Bagi isi rumah sehingga empat orang anak pula, Tengku Zafrul memberitahu, mereka layak menerima BKM antara RM1,000 hingga RM2,000.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, isi rumah berpendapatan RM2,500 hingga RM5,000, BKM yang disediakan adalah antara RM500 hingga RM1,250 bergantung kepada bilangan anak.

Beliau berkata, bagi warga emas tiada pasangan serta golongan bujang pula, mereka akan terus menerima BKM masing-masing sebanyak RM600 dan RM350 bergantung kepada had pendapatan tertentu.

"Tahun 2023, bantuan tambahan RM500 kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan akan diteruskan. Ini bermakna, ibu atau bapa tunggal layak menerima bantuan maksimum sehingga RM3,000.

Kadar BKM maksimum ini meningkat berbanding RM2,500 tahun ini.

"Misalnya, pasangan Firdaus dan Nor Aliza dari Pasir Gudang yang mempunyai lima orang cahaya mata telah menerima BKM sebanyak RM2,000 tahun ini.

Tahun hadapan mereka layak menerima BKM RM2,500.

"Ling Mee Hoon pula seorang ibu tunggal dari Sitiawan yang membesarkan tiga orang anak mendapat BKM RM1,300 tahun ini dan layak menerima BKM 1,500 pada tahun 2023," ujar Tengku Zafrul.