Geng Amy aktif curi kabel tumpas

Ahmad Ridhwan (kanan) menunjukkan gulungan kabel yang dirampas polis.
Ahmad Ridhwan (kanan) menunjukkan gulungan kabel yang dirampas polis.
A
A
A

KUALA LANGAT - Kumpulan penjenayah dikenali Geng Amy yang aktif mencuri kabel di sekitar Telok Panglima Garang ditumpaskan menerusi serbuan di sekitar kawasan Kuala Langat di sini pada Sabtu dan Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, tangkapan dijalankan kira-kira jam 9 pagi pada Sabtu susulan laporan dibuat oleh seorang juruteknik berkaitan kecurian kabel di sebuah premis.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Kuala Langat dan Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Telok Panglima Garang telah membuat tangkapan terhadap dua lelaki warga tempatan di sekitar kawasan Telok Panglima Garang.

"Polis juga berjaya merampas sejumlah barangan iaitu longgokan kabel yang telah dibakar, satu unit pemotong wayar, satu unit tali berwarna putih dan satu unit tali biru berserta cangkuk," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, hasil siasatan terhadap dua suspek yang diberkas kemudian membawa kepada penangkapan dua lagi suspek pada Selasa.

"Serbuan dijalankan kira-kira jam 4.45 petang itu memberkas dua lelaki warga tempatan dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

"Selain itu, polis turut mengesan seorang lagi lelaki yang merupakan rakan sejenayah kesemua suspek yang diberkas," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditangkap berumur 28 tahun hingga 33 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan jenayah narkotik.

"Polis berjaya menyelesaikan lima kes kecurian kabel di sekitar kawasan Telok Panglima Garang dengan tertangkapnya suspek terlibat," katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.