Ordinan, proklamasi darurat tangguh tiga PRK dibatalkan

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, yang diisytiharkan pada November dan Disember 2020, berkuat kuasa semalam.

Perintah pembatalan itu dinamakan sebagai Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) dan (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah; serta Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (No. 2) (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P.054 Gerik, Perak.

Selain itu, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 3) (Pembatalan) 2022) dan Proklamasi Darurat (No. 3) (Pembatalan) 2022 bagi kawasan DUN N.66 Bugaya, Sabah.

Dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 6 Oktober yang disiarkan oleh Jabatan Peguam Negara, pembatalan itu berikutan Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa keperluan kesemua ordinan dan proklamasi darurat berkenaan yang diisytiharkan pada 2020 susulan wabak penyakit berjangkit Covid-19, telah berakhir.

Perintah pembatalan semua ordinan dan proklamasi darurat berkenaan mengikut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dan Fasal (1) dan (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Warta Kerajaan Persekutuan itu turut menyatakan perkara itu akan dibentangkan di Parlimen menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong perkenan isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi berkuat kuasa 18 Nov 2020 serta Parlimen Gerik dan DUN Bugaya masing-masing berkuat kuasa 12 Dis 2020, untuk membendung penularan Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: