Peguam Najib demam, perbicaraan 1MDB tangguh

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, ditangguhkan selepas peguam utamanya demam.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, seorang lagi peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, Alaistair Brandah Norman berkata, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah diserang demam dan jangkitan tekak yang teruk.

Ekoran itu beliau berkata, Muhammad Shafee diberi cuti sakit selama empat hari sehingga Selasa.

Bagaimanapun, Sequerah menolak permohonan peguam itu supaya prosiding yang dijadualkan Selasa ini ditetapkan bagi pengurusan kes.

Beliau turut menolak permohonan untuk melapangkan prosiding Rabu ini kerana Muhamad Shafee akan mewakili Najib dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkannya hadir pada Persidangan Dewan Rakyat.

“Perbicaraan kes 1MDB sudah lama tertangguh dan komitmen mahkamah adalah untuk menyelesaikan perbicaraan kes berprofil tinggi ini.

“Pastikan saksi bersedia (prosiding akan datang), komitmen kami adalah untuk menyelesaikan perbicaraan kes ini,” katanya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam tidak membantah perbicaraan pada Khamis dilapangkan.

Artikel Berkaitan:

Namun beliau menegaskan bahawa prosiding pada 11 dan 12 Oktober ini sepatutnya diteruskan dengan mahkamah akan menyoal balas Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian AmBank, Yap Wai Keat dan bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa.