Bubar DUN: Pulau Pinang kekal ikut keputusan PH Pusat

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang akan mengikut keputusan Pakatan Harapan (PH) Pusat berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dilakukan pada tahun hadapan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri masih kekal dengan keputusannya iaitu mengikut keputusan PH Pusat yang terkini.

"Kita ikut keputusan PH (Pusat) yang terkini. Kita telah menyampaikan keputusan (Pusat) seperti Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di Komtar, pada Khamis.

Pada Rabu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa tiga negeri pimpinan PH tidak akan dibubarkan, jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Anwar berkata, Selangor bersama Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan memfokuskan kebajikan rakyat, termasuk membuat persiapan menghadapi banjir.

Keputusan mesyuarat Majlis Presiden itu memutuskan bahawa ketiga-tiga negeri yang dipimpin PH akan menumpukan perhatian menangani permasalahan banjir dan meringankan beban mangsa yang terpaksa menghadapi bencana banjir.

Dalam pada itu, menjawab soalan sama ada negeri pimpinan PH gentar untuk membubarkan DUN kerana rekod kekalahan sebelum ini, Kon Yeow berkata, keputusan itu akan diketahui jika PRU15 diadakan kelak.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 126 projek pembangunan telah dikenal pasti dan dipohon kerajaan negeri di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Tahun 2023, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah itu, jelas beliau, projek LRT laluan Komtar - Bayan Lepas Fasa 1 termasuk di dalam senarai tersebut dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM10 bilion.

"Untuk pembentangan bajet esok (Jumaat), kita kemukakan 126 projek bernilai RM17.72 bilion. Ia merupakan projek daripada 20 agensi negeri berbeza untuk pertimbangan kerajaan Persekutuan. Bagaimanapun, RM2.9 bilion yang diperlukan pada waktu sekarang.

"Bagaimanapun, semasa pertemuan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini, beliau telah meminta Pulau Pinang mengemukakan projek-projek mendesak secara terus kepada kementerian, terutamanya melibatkan projek infrastruktur," katanya.

Kon Yeow berkata, sehubungan itu, Pulau Pinang telah menyerahkan menyerahkan 23 projek bernilai RM14.03 bilion kepada Kementerian Kewangan pada 14 September lalu untuk pertimbangan.