GRS-BN ketengah calon bersama dalam PRU15

Masidi ditemui selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan LPPB di tapak projek Residensi Impiana, Beaufort.
Masidi ditemui selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan LPPB di tapak projek Residensi Impiana, Beaufort.
A
A
A

BEAUFORT - Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN akan mengetengahkan calon bersama yang mempunyai kebarangkalian paling tinggi untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, beliau adalah wakil daripada GRS untuk berunding dengan BN bagi menentukan agihan kerusi Parlimen dengan adil dan saksama.

"Setakat ini saya ingat hampir 90 peratus semua isu telahpun kita selesaikan, kita berusaha menonjolkan calon bersama yang mempunyai kebarangkalian yang paling tinggi untuk memenangi (PRU15).

"Bukan sekadar kerusi itu (milik) GRS atau BN, soalnya boleh menangkah calon tersebut," katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di tapak projek Residensi Impiana, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya berhubung pembahagian kerusi Parlimen membabitkan GRS-BN bagi menghadapi PRU15.

Beliau yang juga ADUN Karanaan turut mengingatkan Sabah tidak mahu terlibat dengan apa juga situasi politik yang berlaku di Semenanjung.

"Di Sabah ini kita fokus kepada pembangunan sebab itu kita cuba elakkan pertembungan politik remeh yang tidak akan membawa kebaikan kepada rakyat.

"Untuk itu, seperti yang dinyatakan Pengerusi BN, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan GRS sendiri telah pun menyatakan kesediaan untuk bekerjasama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan menegaskan bahawa tiada keperluan untuk kerajaan negeri membubarkan DUN Sabah.

"Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) sudah menyatakan bahawa kita baru mengadakan pilihan raya dua tahun lalu, tidak mungkin kita akan mengadakan pilihan raya setiap dua tahun," katanya.