Selangor catat kes denggi tertinggi

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Selangor mencatatkan bilangan kes denggi tertinggi dengan 748 kes pada minggu epidemiologi (ME) ke-39 iaitu dari 25 September hingga 1 Oktober, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ia diikuti Sabah dengan 173 kes, Kuala Lumpur dan Putrajaya (163), Johor (131), Negeri Sembilan (46), Pulau Pinang (42), Kedah (40), Kelantan (33), Pahang (31), Perak (24), Sarawak (13), Melaka (11), Terengganu (tiga) serta masing-masing satu kes di Perlis dan Labuan.

"Pada ME-39, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah 1,460 kes berbanding 1,533 pada minggu sebelumnya (ME-38), iaitu penurunan sebanyak 73 kes dan dua kematian dilaporkan pada ME-39 di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, jumlah lokaliti titik panas denggi terus meningkat dari 48 lokaliti pada ME-38 kepada 55 lokaliti pada ME-39, dengan 33 daripadanya di Selangor, Sabah (16) serta Kuala Lumpur dan Putrajaya (enam).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, survelan chikungunya merekodkan tiga kes pada ME-39 dengan kesemua kes dilaporkan di Selangor, sekali gus menjadikan kumulatif kes chikungunya sehingga kini sebanyak 649 kes.

Bagi survelan zika, sebanyak 1,488 sampel darah dan 15 sampel urin telah dijalankan saringan dan kesemuanya adalah negatif.

Dr Noor Hisham turut menasihati semua pihak supaya memastikan kawasan mereka bebas daripada tempat pembiakan nyamuk, terutamanya pada fasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL) dari 3 Oktober hingga awal November yang menyebabkan hujan lebat dan angin kencang.

"Lupuskan barang lusuh atau yang tidak digunakan di tempat pembuangan yang ditentukan. Bagi kawasan di dalam rumah, periksa alas mesin penapis air, lapik pinggan, lapik pasu dan pastikan tiada air bertakung,” katanya. - Bernama.

Artikel Berkaitan: