Istana Negara terus jadi tumpuan

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan bahawa beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan bahawa beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Istana Negara sekali lagi menjadi tumpuan pada Khamis susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tumpuan orang ramai pastinya terarah pada isu yang semakin membahang dan menjadi bualan hangat ketika ini iaitu pengumuman tarikh pembubaran Parlimen.

Difahamkan petugas media mula sibuk dan kebanyakan mereka akan berkampung di Pejabat Perdana Menteri (PMO) serta Istana Negara menjelang perjumpaan Ismail Sabri dan Seri Paduka Baginda pada jam 4 petang ini.

Ia susulan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat mencapai ketetapan bahawa pembubaran Parlimen perlu dilakukan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan kesepakatan itu, Ismail Sabri dilaporkan akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Seri Paduka Baginda selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Ujar Ahmad Maslan, semua jentera parti di setiap peringkat diarahkan untuk memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada tarikh PRU15.

Bagaimanapun, Ismail Sabri dilapor memaklumkan pertemuan pada Khamis adalah rutin biasa bagi membentangkan keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Kabinet.

Meskipun datang tekanan daripada pelbagai pihak, Ahli Parlimen Bera itu sehingga ke hari ini masih mengunci mulut tentang bilakah tarikh penting itu akan dimuktamadkan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, blogger dan aktivis, Datuk Zaharin Mohd Yasin mendakwa Ismail Sabri dilapor hadir ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pembubaran Parlimen.

Namun, Istana Negara tampil menafikan dakwaan tersebut.

Sebaliknya, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Seri Paduka Baginda masih berada di Singapura.

Justeru, persoalan sama ada pertemuan antara Perdana Menteri bersama Yang di-Pertuan Agong melibatkan keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Kabinet atau turut mempersembahkan tarikh pembubaran Parlimen bakal terjawab pada petang Khamis.