Pemilik syarikat didenda RM700 culas bayar kompaun

Mahkamah Majistret Telok Datok.
Mahkamah Majistret Telok Datok.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang pemilik syarikat pengangkutan didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret Telok Datok di sini pada Rabu, kerana gagal menjelaskan tunggakan kompaun Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berjumlah RM5,350 tahun lalu.

Lelaki berusia 60-an itu dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Khairul Fahri Yusob.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa gagal menjelaskan tunggakan kompaun MPKL berjumlah 22 notis, bawah Peruntukan Undang-Undang Kecil 7(1), Undang-Undang Kecil Taman Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) 2005.

Ia membabitkan kesalahan meletakkan kenderaan berat iaitu lori di bahu jalan di Taman Rambai Indah, Jenjarom pada 2021.

Dalam pada itu, dia yang diwakili peguam telah membayar semua tunggakan kompaun tersebut di MPKL.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pegawai Pendakwa MPKL, Hasrizal Abd Rahim dan Ahmad Razali Abdul Manaf.

Sementara itu, dalam satu kenyataan media di Facebook, MPKL mengingatkan supaya pemilik tidak meletakkan kenderaan berat di kawasan perumahan kerana ia boleh mengundang kemalangan serta kerosakan jalan raya.

Artikel Berkaitan: