RM21.8 juta diluluskan bagi perolehan peralatan BOPKP

Hishammuddin (tengah) bergambar bersama pasukan BOPKP di Lapang Sasar Menembak Praktikal, Kem Sungai Besi pada Rabu.
Hishammuddin (tengah) bergambar bersama pasukan BOPKP di Lapang Sasar Menembak Praktikal, Kem Sungai Besi pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Unit Perancang Ekonomi meluluskan RM21.8 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) khusus bagi perolehan peralatan Bahagian Operasi Pasukan Khas Pertahanan (BOPKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perolehan itu merangkumi peralatan khas bernilai RM10 juta, peralatan komunikasi (RM7 juta), kenderaan operasi khas (RM2.8 juta) dan persenjataan (RM1.9 juta).

"Selepas hampir dua tahun ia (BOPKP) memulakan pengoperasian sepenuhnya pada Okt 2020, lawatan hari ini (Rabu) amat penting bagi membolehkan saya mengetahui perkembangan terkini pasukan ini terutamanya daripada sudut kesiapsiagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan demonstrasi keupayaan kesiagaan pasukan BOPKP di Lapang Sasar Menembak Praktikal, Kem Sungai Besi di sini, pada Rabu.

Menurut Hishammuddin, BOPKP merupakan sebuah pasukan khas gabungan daripada ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang boleh diatur gerak dengan pantas bagi melawan keganasan dan sebarang bentuk krisis yang boleh mengancam keselamatan negara.

Beliau berkata, kekuatan BOPKP merangkumi staf, pasukan tempur dan pasukan bantuan tempur yang bertindak sebagai kumpulan tindakan pendahuluan atau First Responder Group apabila berlaku sebarang ancaman keganasan dan krisis.

Sementara itu Hishammuddin berkata pada masa ini pihaknya juga sedang meneliti penambahbaikan yang diperlukan BOPKP bagi meningkatkan keupayaannya selari dengan ancaman semasa.

"Soal kesiapsiagaan dan keselamatan negara tidak sesekali akan saya kompromi.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, saya telah arahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (Datuk Seri Muez Abd Aziz) dan Panglima ATM (Jen Tan Sri Affendi Buang) untuk melakukan pemantauan rapi bagi memastikan perolehan ini dilaksanakan seperti perancangan mengikut kehendak ATM khususnya BOPKP,” katanya. - Bernama