KPM bekal lokar kepada 626 sekolah rendah tangani beg berat

Mohd Radzi bersama Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merasmikan lokar semasa majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia, Gombak.
Mohd Radzi bersama Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merasmikan lokar semasa majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia, Gombak.
A
A
A

GOMBAK - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyediakan lokar kepada 626 buah sekolah rendah yang mempunyai dua sesi di seluruh negara dalam usaha menangani isu beg berat yang dialami murid.

Inisiatif tersebut melibatkan pembekalan sebanyak 249,626 lokar kepada murid Tahap 1 dan Tahap 2 dengan fasa pertama dijangka siap sepenuhnya pada akhir bulan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, inisiatif tersebut yang merupakan antara tujuh pendekatan kementerian dalam menangani isu berkenaan akan melibatkan dua fasa dengan fasa kedua akan bermula pada 2023.

“Inisiatif untuk mengurangkan isu beg berat telah diumumkan pada 6 Mac lalu dan hari ini, kita lancarkan perkara yang paling besar dan tidak pernah dilaksanakan sebelum ini (iaitu) untuk KPM membekalkan lokar ke sekolah-sekolah.

“Penyediaan lokar ini melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM37.3 juta dan kita akan teruskan fasa seterusnya pada 2023 melibatkan murid di Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia pada Rabu.

Kuala Lumpur: Okt 05 2022: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menyampaikan ucapan semasa majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia, Gombak.

Dalam pada itu Radzi turut memaklumkan, terdapat 38 buah sekolah rendah dua sesi di daerah Gombak akan dibekalkan dengan lokar berkenaan dengan lima daripadanya telah siap dipasang.

“Semua sekolah rendah yang terpilih seluruh negara akan mendapat lokar sebelum akhir bulan ini dan kita telah mengarahkan supaya pembekal meyiapkan pemasangan secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

“Jadi saya berharap guru dan ibu bapa dapat bantu murid-murid untuk menggunakan lokar yang dibekalkan sebaik mungkin. Jangan pula timbul lagi isu beg berat sama seperti sebelum ini,” ujarnya.

Sementara itu mengulas mengenai inisiatif lain yang dirangka KPM dalam menangani isu beg berat, Radzi memaklumkan, terdapat beberapa kekangan dihadapi beberapa sekolah untuk mengurangkan jumlah mata pelajaran yang diajar dalam sehari.

“Apabila kita berbincang dengan pihak sekolah, ada yang mengalami kesukaran untuk mengurangkan jumlah mata pelajaran kepada tiga atau empat kerana kekurangan guru yang mengajar mata pelajaran tertentu.

“Oleh yang demikian, KPM akan mengambil langkah intervensi sewajarnya untuk melihat apakah pendekatan terbaik yang boleh dilakukan bagi membantu sekolah yang terlibat.

Mohd Radzi melihat murid, Aisyah Hanania Yazid memasukkan buku teks ke dalam lokar semasa Majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia, Gombak.
Mohd Radzi melihat murid, Aisyah Hanania Yazid memasukkan buku teks ke dalam lokar semasa Majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia, Gombak.

“Memang kita sentiasa lakukan pemantauan, namun kita memerlukan kerjasama dari pihak ibu bapa dan anak-anak supaya memahami ada pendekatan lain untuk memastikan beg berat tidak berlaku lagi,” katanya.