Putin luluskan perjanjian aneksasi empat wilayah Ukraine

Putin - Foto CNN
Putin - Foto CNN
A
A
A

ANKARA - Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Rabu meluluskan perjanjian mengenai "penerimaan" wilayah Donetsk, Luhansk, Zaporizhzhia dan Kherson Ukraine ke dalam Persekutuan Rusia.

Beliau juga menandatangani undang-undang perlembagaan persekutuan mengenai kemasukan empat wilayah itu ke dalam Rusia, lapor Agensi Anadolu.

Pada Selasa, parlimen Rusia telah meratifikasi perjanjian mengenai pengilhakan wilayah Ukraine.

Putin menandatangani perjanjian pada Jumaat lalu dengan pihak berkuasa di wilayah itu berikutan "pungutan suara" yang diadakan pada 23 hingga 27 September.

Undian dibuat lebih tujuh bulan selepas konflik Rusia-Ukraine bermula pada 24 Februari.

"Referendum" berkenaan menerima kecaman masyarakat antarabangsa, dengan negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) menggelarnya sebagai "palsu" dan menegaskan mereka tidak akan mengiktiraf usaha itu.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata, keputusan Putin untuk menggabungkan empat wilayah itu sebagai tidak sah. - Bernama