44 Pasukan Bomba Sukarela terima geran bantuan

Sayani (tengah) menyerahkan geran bantuan kepada wakil PBS Kampung Berjaya pada Majlis Penyerahan Geran Bantuan dan Sijil Penarafan Bintang di Dewan Mohamad Adib Ibu Pejabat JBPM Kedah, Jalan Suka Menanti, Alor Setar pada Rabu.
Sayani (tengah) menyerahkan geran bantuan kepada wakil PBS Kampung Berjaya pada Majlis Penyerahan Geran Bantuan dan Sijil Penarafan Bintang di Dewan Mohamad Adib Ibu Pejabat JBPM Kedah, Jalan Suka Menanti, Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR – Sebanyak 44 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di Kedah masing-masing menerima geran RM3,000 kerana sumbangan pihak terlibat dalam membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah ketika berlaku bencana ataupun kecemasan di kawasan tertentu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon memaklumkan, ia melibatkan nilai keseluruhan geran bantuan berjumlah RM132,000 kepada pasukan itu yang berdaftar dan aktif di Kedah.

Beliau berkata, pasukan berkenaan didapati amat membantu pihak bomba dari segi operasi penyelamatan ataupun pemadaman apabila berlaku kejadian seperti banjir ataupun kebakaran di negeri ini.

“Tidak dinafikan, bantuan daripada PBS melancarkan lagi operasi kita sebab dengan bilangan sebanyak 19 balai bomba dan keanggotaan hanya 720 oang, kami hadapi kekangan dari segi masa untuk sampai ke lokasi yang mungkin jauh dari balai bomba.

“Jadi, peranan PBS ini adalah mereka menjadi pasukan terawal yang membantu untuk memberi pemadaman awal berlaku di kawasan mereka,” katanya selepas Majlis Penyerahan Geran Bantuan PBS serta Sijil Penarafan Bintang di Dewan Mohamad Adib Ibu Pejabat JBPM Kedah, Jalan Suka Menanti, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JBPM Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain.

Sayani berkata, pemberian geran bantuan sebanyak RM3,000 kepada setiap PBS di Kedah berkenaan diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu pasukan dan berfungsi dengan lebih baik.

“PBS sangat membantu bomba dari segi cepat sampai ke tempat kejadian, cumanya ada beberapa perkara perlu ditambah baik seperti dari segi keterampilan dan kelengkapan anggota bomba sukarela tetapi insya-ALLAH kita akan cuba uruskan set peralatan perlindungan diri (PPE) lebih lengkap dan teratur,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, katanya, peranan PBS yang sebelum ini terletak di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) akan diperkasakan lagi dari pelbagai sudut termasuklah pengurusan apabila diletakkan di bawah JBPM nanti.