Malaysia kekal sebagai Ahli Majlis ICAO

Ka Siong
Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam pemilihan semula yang dilaksanakan pada Selasa.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan terbabit membolehkan Malaysia mempertahankan kerusi tersebut untuk tempoh enam penggal berturut-turut sejak tahun 2007.

“Menerusi pemilihan dijalankan pada 4 Oktober 2022 di Montreal Kanada ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung ICAO, Malaysia telah memperoleh 136 undi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Ka Siong berkata, kejayaan itu merupakan hasil sokongan, kerja keras dan dedikasi yang ditunjukkan Wakil Tetap Malaysia ke ICAO, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada dan pegawai Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).

Katanya, pencapaian berkenaan juga melibatkan sumbangan daripada Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Turut menyumbang kepada kejayaan itu menurutnya adalah pihak industri penerbangan awam Malaysia khususnya Malaysia Airlines Berhad, AirAsia, Batik Air, Raya Airways, Myjet Express, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd.

“Malaysia akan terus memberikan komitmen berterusan kepada ICAO untuk mempertahan dan menegakkan aspek keselamatan penerbangan awam, inovasi dan kemapanan penerbangan global serta memanfaatkan kemenangan ini untuk kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhannya,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan: