Geran RM500,000 bantu usahawan dapat sijil halal

Aminuddin (tiga dari kiri) menunjukkan buku direktori usahawan kotej halal Negeri Sembilan.
Aminuddin (tiga dari kiri) menunjukkan buku direktori usahawan kotej halal Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri memperuntukkan geran bantuan sebanyak RM500,000 tahun ini bagi membantu usahawan kecil-kecilan mendapatkan pensijilan halal.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan secara one-off sebanyak RM5,000 setiap seorang diberikan kepada seramai 102 usahawan yang berpendapatan kurang daripada RM300,000 setahun.

"Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus geran ini dan memilih usahawan yang didapati berpotensi.

"Kita sedar ramai yang menceburi bidang perniagaan makanan secara kecil-kecilan di rumah, namun sukar untuk meluaskan pasaran kerana gagal melepasi piawaian halal seperti tidak mempunyai premis perniagaan sendiri serta fasiliti yang sesuai dan lengkap," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan Ramah Mesra Usahawan Kotej Halal di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik; Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir dan Pengarah JHEAINS, Datuk Zaidi Ramli.

Aminuddin berkata, banyak bahan makanan atau ramuan yang boleh dijadikan sebagai produk usahawan kotej halal seperti bahan ramuan koji atau ragi.

Sehubungan itu beliau mencadangkan JHEAINS berkolaborasi membuat kajian dengan pusat penyelidikan untuk menghasilkan bahan ramuan berkenaan yang boleh dipersijilkan halal.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana ia amat diperlukan dalam industri makanan.

"Secara tidak langsung usahawan koji dan ragi halal ini dapat memberi sumbangan yang berkesan dalam rantaian makanan halal khususnya, di Negeri Sembilan," katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, pihaknya sudah mengenal pasti, membuat penyenaraian, melaksanakan lawatan dan intervensi terhadap usahawan sebelum bantuan geran diluluskan.

Beliau berkata, mereka yang menerima perakuan Sijil Pengesahan Halal Malaysia mempunyai potensi besar untuk meluaskan lagi pasaran produk sekali gus dapat menambah pendapatan.