Kanak-kanak 2 tahun maut jatuh dari kerusi bayi di restoran

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut dipercayai terjatuh dari kerusi bayi ketika sedang makan bersama keluarganya di sebuah restoran di Taman Sutera di sini, pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 3 petang.

"Mangsa dibawa oleh ibu dan ayahnya ke sebuah restoran dan mangsa diletakkan di dalam sebuah kerusi bayi. Semasa sedang makan, mangsa bertindak di luar kawalan dengan menolak meja menggunakan kaki.

"Kerusi bayi yang didudukinya telah terjatuh dan kepala mangsa terhentak di lantai. Mangsa kemudiannya menangis dengan begitu kuat. Bapa mangsa bertindak membawanya ke sebuah klinik swasta.

"Namun doktor di klinik tersebut meminta agar mangsa dibawa ke hospital memandangkan kecederaannya agak serius," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, mangsa telah dibawa ke sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

"Bedah siasat akan dibuat terhadap mayat mangsa di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi mengetahui punca kematian.

"Sehingga kini tiada sebarang unsur jenayah yang ditemui dalam kejadian ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Siasatan kes masih diteruskan," katanya.

Artikel Berkaitan: