PRU15: Bekas ADUN Behrang buat 'comeback' mahu tanding bebas

Jamaluddin (duduk, tengah) bersama penyokongnya ketika majlis pembukaan pusat khidmat di Taman Slim Mutiara pada Jun lalu.
Jamaluddin (duduk, tengah) bersama penyokongnya ketika majlis pembukaan pusat khidmat di Taman Slim Mutiara pada Jun lalu.
A
A
A

IPOH - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Datuk Jamaluddin Mohd Radzi akan membuat kemunculan semula dengan hasrat bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi Parlimen Tanjung Malim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelasnya, keputusan untuk bertanding pada PRU15 itu dibuat sejak awal tahun lagi dan ia kekal konsisten sehingga hari ini sekali gus membuktikan kepada rakyat bahawa hasrat untuk kembali berpolitik adalah serius.

Beliau berkata, kehadirannya pada PRU15 di Tanjung Malim bakal menjadi pilihan kepada rakyat yang tidak berminat dengan calon-calon daripada parti bertanding terutama orang luar.

"Setiap kali saya hadir jemputan kenduri, bertemu masyarakat di kampung-kampung, mereka tanya saya kenapa tak tanding. Jadi saya nampak sokongan pengundi dan hubungan kami masih rapat walaupun saya jadi wakil rakyat tahun 2008.

"Jadi atas dasar itulah saya buat penampilan semula dengan bertanding sebagai calon bebas kerana saya mahu menjadi seorang yang neutral dan boleh diterima oleh semua orang," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada malam Selasa.

Jamaluddin berkata, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira pandangan dan permintaan masyarakat setempat yang mahukan beliau kembali bertanding setelah menyepi dari arena politik kira-kira sembilan lalu.

Keputusan untuk kembali menyertai PRU turut diumumkan menerusi laman Facebook miliknya.
Keputusan untuk kembali menyertai PRU turut diumumkan menerusi laman Facebook miliknya.

Beliau menyasarkan untuk mendapatkan sokongan undi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang dan DUN Slim serta sebahagian DUN Sungkai yang berada di dalam kawasan Parlimen Tanjung Malim.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, sebuah pejabat yang juga pusat khidmat telah pun dibuka di Taman Slim Mutiara pada bulan Jun lalu bagi memudahkan rakyat mendapatkan bantuan serta memberitahu pengundi bahawa keputusan dibuat untuk bertanding bukan main-main.

Sementara itu, beliau turut mendedahkan terdapat tiga parti politik yang pernah melamarnya untuk menyertai mereka namun ditolak secara baik.

"Saya tak nak dedahkan parti mana tapi mereka ini parti baharu. Saya tegaskan bahawa saya mahu kekal menjadi bebas sebab mudah nak berkawan dengan sesiapa sahaja.

"PRU kali ini saya berpandangan orang akan lihat calon berbanding parti. Siapa calon yang dapat gembirakan rakyat, dia ada potensi menang, bukan sebab parti," jelas beliau.

Pada PRU12, Jamaluddin yang mewakili PKR mengalahkan calon BN, M Ramasamy dengan majoriti 1,027 undi.

Bagaimanapun tindakan Jamaluddin pada Februari 2009 bersama empat ADUN yang lain menjadi bebas menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang berusia 11 bulan tumbang dan memberikan sokongan kepada BN membentuk kerajaan negeri.

Selain Jamaluddin, tiga lagi ADUN ketika itu, Nasarudin Hashim (Bota), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) turut mengambil langkah sama sekali gus menyebabkan BN kembali memerintah negeri itu walaupun tewas.