Setapak dikenal pasti lubuk doktor gigi palsu: Khairy

Khairy Jamaluddin. - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin. - Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti Setapak menjadi lubuk bagi kegiatan doktor gigi palsu atau tidak bertauliah yang dilihat semakin meningkat dan aktif mempromosikan perkhidmatan mereka menerusi media sosial.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, KKM memandang serius perkara itu dan menerusi Akta Pergigian 2018 yang dikuatkuasakan pada 1 Januari lepas, sebanyak 10 serbuan telah dilakukan KKM ke atas premis pergigian tidak bertauliah di seluruh negara setakat ini.

"Baru-baru ini, KKM melakukan serbuan di Setapak, Kuala Lumpur dan difahamkan Setapak ini adalah lubuk bagi doktor gigi palsu.

"Kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai doktor gigi tanpa tauliah ini, boleh kemukakan (maklumat) kepada KKM untuk kita lakukan serbuan.

Saya beri jaminan sekiranya kita mendapat apa-apa laporan, pihak berkuasa akan terus membuat serbuan,” katanya pada sidang media selepas melawat Klinik Pergigian Bandar Botanik di sini hari ini.

Beliau berkata, pengamal perubatan pergigian haram yang didapati bersalah, boleh dikenakan denda maksimum RM300,000 atau dipenjarakan sehingga enam tahun atau kedua-duanya di bawah Akta Pergigian 2018.

Mengulas mengenai lawatan itu, Khairy berkata, Klinik Pergigian Bandar Botanik kini dalam proses pelaksanaan Proof of Concept (POC) untuk Projek Rintis Penghasilan Gigi Palsu (Dentur) menggunakan teknologi 3D.

Projek itu adalah yang pertama seumpamanya dijalankan KKM bagi memperkenalkan teknologi terkini pembuatan gigi palsu kepada anggota pergigian KKM serta mempercepatkan penghasilan dentur.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi projek rintis ini juga, dijangkakan penghasilan dentur pada masa hadapan dapat ditingkatkan daripada purata 90 unit kepada 300 unit sebulan bagi setiap klinik pergigian yang dilengkapi dengan teknologi 3D ini.

"Kekerapan lawatan pesakit untuk pembuatan dentur turut dapat dikurangkan kepada dua kali lawatan sahaja berbanding lima kali lawatan yang menggunakan kaedah konvensional," katanya.

Khairy berkata, projek itu bermula pada 15 Ogos lepas dan akan dilaksanakan selama tiga bulan hingga 15 Nov di dua fasiliti kesihatan pergigian iaitu Klinik Pergigian Bandar Botanik dan Klinik Pergigian Kuala Lumpur. - Bernama