Mohd Daud Bakar terima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022

Mohd Daud (kiri) ketika menerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022 pada Selasa.
Mohd Daud (kiri) ketika menerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022 pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Tokoh kewangan Islam, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar diumumkan sebagai penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022.

Penganugerahan itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Selasa.

Pengerusi Juri, Tun Musa Hitam berkata, para juri telah melaksanakan proses pemilihan yang ketat dan teliti ke atas merit serta pencapaian setiap calon sebelum membuati keputusan muktamad.

“Sebagai seorang cendekiawan syariah, pengarang dan usahawan yang disegani, Mohd Daud telah memainkan peranan utama dalam membentuk industri kewangan Islam global.

“Beliau diiktiraf secara meluas atas sumbangan dalam memajukan kepimpinan berwawasan syariah dalam kewangan Islam,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Penganugerahan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Selasa.
Penganugerahan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Selasa.

Untuk makluman, Mohd Daud merupakan cendekiawan syariah yang terkemuka dan diiktiraf secara meluas terhadap sumbangannya kepada pembangunan industri kewangan Islam global.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Syariah bagi Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berperanan penting dalam membangunkan piawaian syariah pertama bagi emas yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI).

Artikel Berkaitan:

Beliau juga merupakan ahli lembaga syariah bagi institusi dan organisasi kewangan antarabangsa seperti Amundi Asset Management (Perancis), Bank of London and Middle East, Indeks Pasaran Islam Dow Jones (New York), Morgan Stanley (Dubai) dan Sedco Capital (Arab Saudi).

Selain penyertaan aktif pada peringkat global, beliau juga merupakan mantan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Selain itu, beliau telah menubuhkan beberapa syarikat khidmat nasihat syariah dan syarikat fintech yang menyumbang kepada rangka kerja dan dasar berkaitan syariah, penstrukturan produk, pembangunan modal insan dan penyelesaian teknologi.

Sebagai tokoh tersohor dalam kepimpinan berwawasan bagi kewangan Islam, Mohd Daud juga merupakan pengarang untuk lebih 40 buku dalam pelbagai genre dan telah menerima pelbagai anugerah.

Buku-buku beliau memberikan pencerahan tentang tafsiran cendekiawan moden mengenai keputusan syariah serta penerapannya secara praktikal dalam industri kewangan Islam.

Berkenan berangkat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan.