KPDNHEP sita set penjagaan diri tiruan bernilai RM13,350

Kotak mengandungi set penjagaan diri krim pelembap dan minyak wangin tiruan terdapat dalam sebuah premis tidak bernama di Taman Prima Selayang.
Kotak mengandungi set penjagaan diri krim pelembap dan minyak wangin tiruan terdapat dalam sebuah premis tidak bernama di Taman Prima Selayang.
A
A
A

SELAYANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyerbu sebuah premis di Taman Prima Selayang yang dikesan dijadikan pusat penyimpanan barangan tiruan.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, barangan krim pelembap (losyen) dan minyak wangi bernilai RM13,350 disita dalam serbuan yang diadakan pada Isnin.

Menurutnya, penguatkuasaan dijalankan selepas menerima aduan daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar berhubung terdapat premis yang dijadikan tempat simpanan barangan yang disyaki tiruan.

"Hasil pemeriksaan didapati penyimpanan barangan set penjagaan diri tersebut digunakan untuk tujuan perdagangan.

"Pasukan pemeriksa turut mendapatkan pengesahan dan pengecaman awal daripada

wakil pemilik cap dagang ke atas semua barangan tersebut, " katanya menerusu kenyataan pada Selasa.

Premis tanpa nama yang dijadikan tempat penyimpanan barangan tiruan diserbu KPDNHEP Selangor pada Isnin.
Premis tanpa nama yang dijadikan tempat penyimpanan barangan tiruan diserbu KPDNHEP Selangor pada Isnin.

Katanya, siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti individu atau mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti perlanggaran di bawah perlindungan harta intelek.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, KPDNHEP Selangor telah membuka kertas siasatan di bawah kesalahan Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.

"Jika disabit kesalahan, jika pemilik premis merupakan suatu pertubuhan atau perniagaan boleh didenda maksimum RM15,000 bagi setiap barang dan kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda maksimum RM30,000 bagi setiap barangan.

"Manakala, bagi individu atau perseorangan boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap barang atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh denda maksimum RM20,000 bagi setiap barang atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tegasnya, KPDNHEP Selangor konsisten serta tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP khususnya di bawah Akta Cap Dagangan 2019 yang juga merupakan antara salah satu kepentingan awam.

Ujarnya, pengguna boleh menyalurkan maklumat atau sebarang pertanyaan berkaitan perdagangan domestik menerusi WhatsApp 019-2794317/ 019-8488000, portal e-aduan.kpdnhep, pusat panggilan 1-800-886-800 atau e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my.