Sudah lapan kali Parlimen Rembau buat jualan murah

Khairy bertanya khabar kepada orang ramai yang berpeluang membeli barang keperluan dengan harga yang lebih murah.
Khairy bertanya khabar kepada orang ramai yang berpeluang membeli barang keperluan dengan harga yang lebih murah.
A
A
A

SEREMBAN - Program Jualan Murah Keluarga Malaysia anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Rembau di Pasar Segar Shahril, Taman Bandar Senawang di sini pada Sabtu mendapat sambutan menggalakkan.

Program yang sepatutnya bermula jam 9 pagi, terpaksa diawalkan kerana orang ramai sudah beratur sejak jam 7.30 pagi.

Sebanyak 100 kampit beras 10 kilogram dan 100 papan telur yang disediakan habis terjual dalam tempoh dua jam.

Turut ditawarkan ialah 2,000 ekor ayam segar dengan harga RM15 untuk dua ekor, minyak masak paket, tepung gandum dan gula.

Khairy beramah mesra dengan orang ramai yang datang seawal jam 7.30 pagi.
Khairy beramah mesra dengan orang ramai yang datang seawal jam 7.30 pagi.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, program itu merupakan kali kelapan diadakan di kawasan parlimen berkenaan iaitu 5 di DUN Kota dan 3 di DUN Paroi sejak 11 September lalu.

"Saya dapati ia mendapat sambutan luar biasa. Cuma mungkin ada penambahbaikan perlu dilakukan antaranya kita akan menyediakan lebih banyak stok barang popular seperti beras dan telur kerana ia cepat habis.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya ini satu program yang berjaya di bawah Konsep Keluarga Malaysia dan ia sedikit sebanyak dapat membantu pengguna dalam keadaan kenaikan harga barang global," katanya kepada media ketika ditemui meninjau program berkenaan.

Pekerja menyusun minyak masak paket untuk dijual kepada pelanggan yang sudah beratur.
Pekerja menyusun minyak masak paket untuk dijual kepada pelanggan yang sudah beratur.

Sementara itu seorang pesara, Mohd Khairuddin Hanapah, 52, berkata, program terbabit sangat memberi manfaat kepada rakyat dan perlu diperbanyakkan.

"Bila saya terbaca mengenai program ini di Facebook, saya tidak lepaskan peluang untuk datang kerana harga ditawarkan sangat murah berbanding di pasaran.

"Sekampit beras 10 kilogram dijual dengan harga RM20 dan dua ekor ayam dijual RM15. Jika di luar, kita memang tak dapat harga macam ini," katanya.

Nor Azian Mohd, 43, pula mencadangkan kerajaan supaya mengadakan program itu setiap bulan di lebih banyak kawasan di setiap Dewan Undangan Negeri(DUN).

Katanya, ia sangat membantu meringankan beban rakyat lebih-lebih lagi yang mempunyai ahli keluarga ramai.

Warga Bangladesh, Mohamad Arman, 35, turut tidak melepaskan peluang untuk ke program berkenaan selepas diberitahu majikannya.

"Saya beli ayam dan telur. Nampaknya malam ini saya boleh 'kenduri' dengan kawan-kawan," katanya.