Kelantan ‘ceraikan’ Kraljevic?

Marko Kraljevic
Marko Kraljevic
A
A
A

BOLA sepak Kelantan terus berada dalam situasi tidak menentu apabila dikhabarkan khidmat Marko Kraljevic selaku Ketua Jurulatih The Red Warriors ditamatkan hanya tidak sampai tiga bulan membimbing pasukan itu dalam saingan Liga Premier musim ini.

Keputusan ‘menyingkirkan’ pengendali kelahiran Croatia itu dibuat lima hari selepas syarikat MyInspiration Sdn Bhd membatalkan perjanjian usahasama antara Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi menguruskan tiga pasukan bola sepak negeri itu.

Sumber terdekat persatuan itu mendedahkan, penamatan tugas bekas jurulatih Balistier Khalsa FC dibuat atas faktor masalah kewangan yang meruncing ketika ini selain prestasi semasa pasukan.

“Ada dua faktor di sebalik isu ini iaitu prestasi semasa pasukan dan kedua, berkait rapat dengan kedudukan kewangan persatuan susulan pembatalan perjanjian, baru-baru ini,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, tugas melatih pasukan kemungkinan besar akan digalas Pengarah Teknikal Kafa, Peter Jorg Steinebrunner.

Sementara itu, Kraljevic ketika dihubungi Sinar Harian enggan mengulas berhubung perlucutan jawatan ‘kerusi panas' skuad Pantai Timur itu.

“Saya tidak boleh bercakap (mengenai penamatan kontrak) sekarang. Beri saya beberapa hari untuk selesaikan isu ini,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan memberitahu, satu sidang media akan diadakan esok bagi menjelaskan perkembangan terkini skuad Kelantan.

Artikel Berkaitan:

“Kita kena teliti semula kontrak pemain yang gaji mereka dibayar oleh KRW Sdn Bhd dengan jaminan MyInspiration. Yang mana terlibat di bawah KRW, kita mungkin boleh berunding untuk teruskan atau memilih jalan terbaik demi kebaikan Kafa dan jurulatih.

“Dengan kata lain, mana-mana pemain terlibat yang KRW bawa masuk antaranya Marko (Kraljevic), (Raul) Tarragona, Piya (Mohd Badhri Radzi) dan beberapa orang lagi dengan jaminan MyInspiration, Kafa kena menstrukturkan semula setelah KRW Sdn Bhd sahkan secara rasmi penamatan kontrak,” ujarnya.