Dua suspek larikan ahli perniagaan ditahan

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Mohamad Farouk
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Mohamad Farouk
A
A
A

AMPANG - Dua lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes melarikan seorang ahli perniagaan dengan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire di Jalan Pandan Indah di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dua lelaki yang juga pekerja kilang dan penjual sayur berusia 37 dan 40 tahun itu ditahan di Jalan Putra Sulaiman, Taman Dagang pada jam 3 petang, Ahad.

"Kita turut merampas beberapa pakaian, telefon bimbit dan sebuah Toyota Vellfire yang digunakan semasa kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.

"Kedua-dua suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula Isnin sehingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun keseksaan," katanya.

Pada Jumaat, media melaporkan mangsa berusia 38 tahun hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya sekitar jam 10.45 malam, selepas dilepaskan oleh suspek di Klang.

Mangsa mengalami beberapa kecederaan di kaki dan muka akibat kejadian dan sudah pun mendapat rawatan di Hospital Ampang.

Punca kejadian dipercayai akibat masalah hutang dengan pihak majikan.

Artikel Berkaitan: