Sektor perniagaan berdaya tahan

A
A
A

Industri perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana kembali rancak beroperasi hasil peruntukan Bajet 2022.
Industri perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana kembali rancak beroperasi hasil peruntukan Bajet 2022.

Inisiatif Bajet 2022 lonjakkan semula perniagaan termasuk PMKS

SHAH ALAM - Selepas hampir enam bulan berada dalam fasa peralihan endemik, kehidupan rakyat di negara ini kembali normal seperti sebelum pandemik Covid-19, dua tahun lepas.

Fasa peralihan endemik yang bermula 1 April lalu menyaksikan pelbagai kelonggaran diberikan termasuk premis perniagaan dibolehkan beroperasi seperti biasa tanpa had waktu dan sempadan negara kembali dibuka.

Dalam tempoh pemulihan ekonomi, sektor perniagaan dilihat terus berdaya tahan dan beroperasi seperti sedia kala selepas dipacu oleh inisiatif-inisiatif dalam Bajet 2022.

Suntikan terbesar yang diberikan kerajaan antaranya menerusi Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) bernilai RM40 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Februari lalu dilaporkan berkata, peruntukan itu disediakan bagi mengembalikan keupayaan dan memastikan kelangsungan industri perniagaan ketika pasca pandemik.

Inisiatif kerajaan secara holistik dapat dilihat apabila semua peringkat usahawan dan perniagaan disokong sama ada industri mikro hinggalah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Melalui SemarakNiaga, kerajaan memberikan pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.8 bilion menerusi pelbagai agensi seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), Agrobank, Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia (melalui bank komersial).

Langkah itu turut merangkumi pembiayaan Ekuiti/Alternatif berjumlah RM2.2 bilion, Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil dan Sederhana (RM14.2 bilion), Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan atau SJPP (RM22 bilion termasuk peruntukan khas Bumiputera sebanyak RM2 bilion).

MADELINE
MADELINE

Penganalisis ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma berkata, semua inisiatif itu merangsang semula sektor perniagaan yang terjejas teruk sepanjang lebih dua tahun bergelut dengan pandemik.

"Rangsangan yang diberikan kerajaan merangkumi semua sektor perniagaan itu dilihat berjaya membantu setiap lapisan usahawan meneruskan kelangsungan perniagaan masing-masing.

"Pada masa sama, ia juga membolehkan mereka terus melonjakkan diri untuk kembali pulih seperti biasa," katanya.

Pulih sektor tumpuan

Jelas Madeline, peruntukan yang disalurkan kerajaan itu juga dapat memulihkan sektor-sektor yang menjadi tumpuan kerajaan seperti perkhidmatan, pelancongan dan industri kreatif.

Media pada 2 September lalu turut melaporkan kerajaan telah menyalurkan RM7.15 bilion kepada sebanyak 26,119 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di bawah Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) setakat 6 Julai lepas.

Dilaporkan, sejumlah 41,978 permohonan diterima sehingga tempoh itu dan kemudahan pinjaman bernilai RM6 bilion itu telah ditambah menjadi RM8 bilion bagi membantu kalangan PKS yang terjejas dalam sektor perkhidmatan.

Menerusi Bajet 2022 juga, kerajaan memperuntukkan RM1.6 bilion untuk membantu industri pelancongan.

No Image Caption

"Bantuan yang diberikan dalam pelbagai bentuk itu memberi kelegaan kepada pengusaha-pengusaha pelancongan.

"Sekarang kita lihat sektor pelancongan kembali rancak apabila tempat-tempat peranginan popular negara sentiasa dipenuhi pengunjung," ujar Madeline.

Antara bantuan yang diberikan kepada sektor pelancongan adalah program subsidi upah kepada penggiat industri yang memanfaatkan 330,000 pekerja membabitkan peruntukan RM600 juta.

Kerajaan turut menyediakan pembiayaan RM600 juta di bawah PENJANA Tourism Financing dan bantuan khas kepada lebih 20,000 pengusaha pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) selama tiga bulan dengan peruntukan sebanyak RM85 juta.

Peruntukan sebanyak RM288 juta yang diberikan kepada industri kreatif juga dilihat mempercepatkan pemulihan sektor itu yang terjejas teruk.

Kejayaan filem epik sejarah, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof meraih kutipan RM97 juta menunjukkan momentum pemulihan industri kreatif yang luar biasa.

Memacu pelaburan strategik

Bajet 2022 juga disifatkan berjaya memacu pelaburan strategik apabila kerajaan menyalurkan dana khas pelaburan strategik sehingga RM2 bilion.

Sinar Harian pada 16 September lalu melaporkan Taman Perindustrian Halal Malaysia (Halal Malaysia Industrial Parks) berjaya menarik lebih RM16 bilion pelaburan, dengan RM9.5 bilion atau 59 peratus daripada jumlah itu adalah pelaburan langsung asing (FDI).

Selain itu, pada 20 September lepas, dilaporkan syarikat peneraju kelengkapan perubatan terkemuka dari Sweden, Mölnlycke membuka kilang ketiganya di Kedah melibatkan jumlah pelaburan sehingga RM233 juta.

Kilang baharu yang dibina di atas tanah seluas 29,164 meter persegi di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dijangka mampu menawarkan kira-kira 400 peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri itu.

AIMI ZULHAZMI
AIMI ZULHAZMI

Pakar kewangan, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menegaskan, laporan itu menunjukkan perkembangan yang sangat positif kepada negara.

"Kita berjaya menarik pelaburan langsung asing terutamanya industri yang disasarkan seperti industri halal dan industri strategik bernilai tinggi.

"Namun untuk masa akan datang, Malaysia perlu menumpukan lebih perhatian kepada FDI yang bernilai tinggi terutama mempunyai nilai penyelidikan dan pembangunan (R&D)," jelasnya.

Menurut Aimi Zulhazmi, pelaburan yang menitik beratkan tentang R&D akan membantu dalam penghijrahan teknologi baharu ke negara ini.

"Peluang pekerjaan juga adalah lebih baik kepada para siswazah dari universiti tempatan kerana mereka berpeluang bekerja dengan syarikat-syarikat multinasional sesuai dengan pengajian mereka yang melahirkan graduan berkemahiran tinggi," kata beliau.

INFO

Pencapaian Bajet 2022 (setakat 31 Ogos 2022)

- Penambahbaikan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bernilai RM1.74 bilion melibatkan 3,807 perniagaan.

- Program Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil bernilai RM1.44 bilion melibatkan 64,223 peminjam.

- MyCIF – Equity Crowdfunding (ECF) & Peer-to-Peer Financing (P2P) bernilai RM84.48 juta melibatkan 2,036 peminjam.

- Skim Geran Pendigitalan PKS bernilai RM38.61 juta melibatkan 21,575 penerima.

- Jamin Kerja - Insentif Penggajian bernilai RM28.8 juta melibatkan 19,562 perniagaan.

- PSU5.0 bernilai RM210.19 juta melibatkan 119,813 pekerja & 7,928 majikan.