Dua rakan baru keluar penjara ditahan terlibat samun

Hoong Fong
Hoong Fong
A
A
A

KLANG - Dua rakan yang baru bebas dari Penjara Kajang kerana kesalahan dadah diberkas lagi selepas dipercayai terlibat kes samun kedai serbaneka 24 jam di Taman Bayu Perdana, di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 3.35 pagi ketika seorang pekerja berada sendirian di premis terbabit.

Menurutnya, dua lelaki yang menaiki motosikal telah berhenti di hadapan premis sebelum salah seorang dari mereka masuk ke dalam premis lalu mengambil 47 kotak rokok pelbagai jenis bernilai kira-kira RM700 sebelum melarikan diri.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berjaya memberkas dua suspek terbabit kira-kira jam 1.30 petang, hari yang sama selain rampasan pelbagai jenis rokok dan pakaian yang dipakai semasa kejadian.

“Kedua-dua suspek berusia 24 dan 29 tahun itu ditahan secara berasingan di dua buah rumah di Pandamaran Jaya dan Bandar Sultan Suleiman, Klang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

Katanya, kedua-dua mereka juga baru selesai menjalani hukuman penjara enam bulan di Penjara Kajang.

“Suspek masing-masing sebelum ini ditahan pada 31 Mac dan 20 April atas kesalahan memiliki dadah sebelum keluar penjara pada Ogos lalu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, suspek kini direman lima hari sehingga Rabu untuk siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan.

Tambah Hoong Fong, pihaknya mengingatkan kepada peniaga premis perniagaan untuk meningkatkan kualiti keselamatan di premis masing-masing terutamanya yang beroperasi 24 jam.