Usaha tangani rasuah perlu jadi keutamaan Bajet 2023

Mujahid
Mujahid
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha menangani rasuah perlu menjadi keutamaan dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan Jumaat ini, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, langkah tersebut perlu dilakukan melalui pengukuhan terhadap kaedah pendakwaan membabitkan kes rasuah di dalam negara.

“Cadangan memisahkan Pejabat Pendakwaan dengan Pejabat Peguam Negara adalah bagi menjaminkan kebebasan dan salahguna kuasa pihak Peguam Negara. Bajet perlu ada perubahan struktural bagi mengatasi rasuah yang berlaku secara sistemik.

“Antaranya adalah reformasi penganugerahan kontrak yang perlu dibuat secara terbuka dan pengukuhan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) supaya lebih proaktif dalam melihat perjanjian kontrak supaya tidak merugikan duit negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Mujahid berkata, model pelaburan berpandukan kerangka alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) perlu dimulakan dengan asas tapak perundangan yang kuat, telus dan bertanggungjawab.

Katanya, amalan rasuah sistemik akan menggagalkan usaha memenuhi keperluan kelestarian kerana ia mengakibatkan ketirisan terhadap sumber yang sepatutnya dibelanjakan untuk memastikan kesinambungan dalam pendidikan formal dan pembangunan sumber manusia.

“Ketirisan kerana rasuah hari ini turut menjejaskan peruntukan perlindungan sosial untuk menangani kejutan pasca pandemik bagi menjaminkan asas kehidupan di kalangan masyarakat tertindas.

“Kerana rasuah juga jurang kekayaan antara rakyat semakin melebar dan kelompok terbawah yang sepatutnya diperjuangkan hak asasinya meneruskan hidup diabaikan secara sistemik sehingga berpotensi melahirkan huru-hara sosial yang tidak berkesudahan,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mujahid menjelaskan bahawa pertumbuhan masa depan negara perlu dibina atas tiga kriteria iaitu iaitu pertumbuhan pintar, pertumbuhan mampan dan pertumbuhan Inklusif.

Menurutnya, Bajet perlu menterjemahkan kesemua kriteria itu jika negara mahu menguasai medan baru yang semakin mendesak ke arah sifar pelepasan karbon mengakibatkan kesan rumah hijau yang merupakan penyumbang terbesar kepada perubahan iklim.

“Cara dan kaedah pembangunan negara perlu berpindah kepada keseluruhan konsep Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)

“Adalah peluang terbaik pemindahan kerangka ini dimulakan dengan langkah sifar rasuah supaya masa depan model pertumbuhan dapat menangani isu integriti bagi memacu pertumbuhan baharu negara,” ujarnya.