Cadangan penambahbaikan GEG dibentang selewatnya Khamis ini

Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan penambahbaikan kepada Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang sepatutnya dibentang Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang hari ini di Dewan Rakyat, dilanjutkan selewatnya sehingga Khamis ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat berkata, jawatankuasa itu memerlukan lebih masa untuk meneliti isu-isu yang menjadi perhatian awam dengan lebih menyeluruh dan mendalam berkenaan rang undang-undang berkenaan.

Usul berkenaan disokong Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan disetujukan Ahli Dewan Rakyat tanpa bahas.

Dewan Rakyat pada 2 Ogos lepas meluluskan rang undang-undang berkenaan untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang dianggotai 13 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dan dipengerusikan Menteri Kesihatan.

Ia bagi membolehkan jawatankuasa itu membuat syor-syor untuk meneliti bahagian penguatkuasaan dalam rang undang-undang tersebut dan mencadangkan sebarang penambahbaikan sekiranya perlu tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa.

Rang undang-udang berkenaan antaranya bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau ‘vape’ kepada individu yang dilahirkan pada 1 Januari 2007 dan tahun seterusnya, bertujuan melahirkan Generasi Penamat atau Generational End Game (GEG) bagi merokok. - Bernama

Artikel Berkaitan: