Azeem mampu pecah rekod kebangsaan 200m tahun depan

Azeem meraih tempat keenam Piala Cabaran Olahraga di Niigata, Jepun pada Ahad. - Foto Agensi
Azeem meraih tempat keenam Piala Cabaran Olahraga di Niigata, Jepun pada Ahad. - Foto Agensi
A
A
A

PELARI terpantas Malaysia, Muhammad Azeem Fahmi dijangka mampu untuk meleburkan rekod kebangsaan acara 200 meter (m) pada tahun depan.

Keyakinan dilaungkan sendiri, jurulatih Azeem, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah yang melihat ia bukanlah satu perkara yang mustahil untuk dilakukan anak buahnya itu berdasarkan prestasi semasanya ketika ini.

“Kalau kita lihat persembahan Azeem di kejohanan ini ( Piala Cabaran Olahraga di Niigata, Jepun) boleh dikatakan agak baik jika diambil kira dengan banyak kejohanan yang dia sertai tahun ini.

“Sekiranya dia boleh kekal catatan masa yang konsisten seperti yang dilakukan ketika ini, saya tidak tolak kemungkinan bahawa dia mungkin boleh pecah rekod kebangsaan acara 200 m paling cepat tahun hadapan.

“Itu harapan saya. Kalau diizinkan Allah, saya rasa tiada yang mustahil buat Azeem,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar pada Isnin.

Sebelum itu, pada Ahad, Azeem menamatkan perlumbaan acara 200 m Piala Cabaran Olahraga di Niigata, Jepun di tempat keenam dengan catatan masa 20.98 saat (s).

Bagaimanapun Azeem tetap boleh berbangga dengan catatan masa itu apabila berjaya melepasi sasarannya untuk mendapatkan catatan di bawah 21.00s dalam setiap kejohanan yang disertai.

Pada perlumbaan yang berlangsung di Stadium Denka Big Swan, pelari dari Tsukuba Omiya Castle, Uzawa Toba mengungguli acara terbabit dengan catatan 20.60s manakala tempat kedua menjadi milik Keigo Yasuda dari Sumitomo Electric Hyogo menerusi (20.75s).

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pelari Jepun yang mewakili IxZOG Osaka, Uemoto Naoki melengkapkan podium di tempat ketiga dengan catatan masa 20.94s.

Rekod kebangsaan ketika ini menjadi milik pelari negara yang berpangkalan di Australia, Russel Alexander Nasir Taib (20.77s) yang dilakukan ketika di Queensland Track Classic pada 23 Mac 2019.

Dalam pada itu, Amir turut mendedahkan bahawa anak buahnya itu akan berehat daripada menyertai mana-mana kejohanan selepas ini kerana ingin melakukan persediaan untuk menyambung pelajarannya di Amerika Syarikat.

“Universiti mana yang menjadi pilihannya, saya tidak boleh dedahkan. Biarlah Azeem sendiri yang memberitahu.

“Apa yang saya boleh cakap, dia sudah membuat pilihannya dan akan buat pengumuman itu dalam masa terdekat,”ujarnya.