LZS peruntuk RM20 juta bantu keperluan pendidikan

Info grafik SPZAS yang dibuka secara dalam talian bermula pada Isnin.
Info grafik SPZAS yang dibuka secara dalam talian bermula pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan sebanyak RM20 juta agihan zakat melalui Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (SPZAS) kepada murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang dibuka secara dalam talian bermula Isnin.

LZS dalam kenyataannya memaklumkan, bantuan SPZAS itu terbuka kepada warganegara Malaysia beragama Islam, lahir dan menetap di Selangor atau bermastautin serta masih menetap di Selangor tidak kurang dari tiga tahun.

Menurut LZS, selain itu, pendapatan isi rumah pemohon hendaklah melebihi haddul kifayah iaitu garis kecukupan bagi penentuan sebagai asnaf, namun jumlah lebihan tersebut tidak melebihi nilai maksimum RM11,000.

"Setiap permohonan SPZAS sekolah rendah dan menengah akan menerima bantuan bergantung kepada jumlah tanggungan pada kadar RM200 seorang manakala bagi permohonan SPZAS IPT akan menerima bantuan sebanyak RM700 hingga RM2,500," kata kenyataan itu pada Isnin.

LZS menjelaskan, bagi kategori asnaf fakir, miskin dan mualaf yang menerima tajaan pendidikan daripada LZS tidak boleh memohon bantuan terbabit.

"Bagaimanapun, asnaf terbabit boleh merujuk ke cawangan LZS berhampiran atau penolong amil kariah bagi memohon bantuan pendidikan sekiranya memerlukan," jelas kenyataan itu.

SPZAS diperkenalkan bertujuan membantu meringankan beban golongan bukan asnaf (fakir, miskin dan mualaf), khususnya dalam kelas B40 serta M40 yang memerlukan bantuan bagi menampung keperluan pendidikan menggunakan peruntukan di bawah asnaf

fisabilillah.

Artikel Berkaitan:

Permohonan boleh dibuat dengan melayari laman sesawang www.zakatselangor.com.my/spzas sehingga 3 Disember 2022 ini.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343.