Kadar inflasi negara jauh lebih tinggi jika tiada subsidi

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan kadar inflasi negara jauh lebih tinggi iaitu sebanyak 10.6 peratus berbanding 4.7 peratus pada bulan Ogos 2022 sekiranya tiada subsidi yang disediakan oleh kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dasar-dasar dan inisiatif kerajaan berjaya memulihkan ekonomi serta meringankan beban Keluarga Malaysia walaupun ekonomi negara kini sedang menghadapi pelbagai cabaran domestik dan global.

“Pada tahun 2023, kesemua pakar ekonomi, termasuk daripada pertubuhan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia meramalkan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih rendah.

“Malaysia sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka tidak terkecuali daripada terkena tempias daripada cabaran ini.

“Langkah-langkah untuk menangani cabaran-cabaran ini akan diperincikan dalam Bajet 2023,” katanya semasa pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang bertanyakan senario cabaran ekonomi dalam dan luar negara serta apakah tindakan kerajaan menanganinya demi menjaga kebajikan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Mustapa turut mengulas mengenai pertanyaan Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) mengenai kesan mata wang yang jatuh terhadap bajet dan pembayaran hutang yang perlu dibayar oleh kerajaan dalam dolar Amerika Syarikat.

Mustapa menjelaskan, hutang langsung kerajaan tidak sampai lima peratus dalam dolar Amerika Syarikat.

Artikel Berkaitan:

“Kebanyakan hutang kerajaan pusat adalah dalam ringgit Malaysia. Jadi kalau hutang langsung kerajaan pusat, kesannya kecil sekali,” katanya.