Jodoh Lage bersama Wolves berakhir

Bruno Lage - Foto Agensi
Bruno Lage - Foto Agensi
A
A
A

MALANG menimpa buat Bruno Lage apabila dipecat sebagai pengurus Wolverhampton Wanderers ekoran aksi hambar pasukan dalam saingan awal Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Berikutan pemecatan itu, jurulatih skuad remaja Steve Davis dan James Collins akan mengendalikan kelab ketika berkunjung ke Chelsea pada Sabtu.

Kelab bimbingan jurulatih dari Portugal itu hanya menang sekali daripada lapan aksi dan kini berada di zon penyingkiran.

Wolves sekadar menjaringkan tiga gol setakat ini dan kekalahan 0-2 di West Ham United, Sabtu lalu adalah kekalahan keempat musim ini.

Mereka ketika ini menghuni tangga ke-18 liga dengan enam mata.

Lage, 46, menggantikan Nuno Espirito Santo pada Jun 2021 dan membawa kelab itu ke tempat ke-10 liga, tetapi kemudian prestasi menjunam apabila hanya menang sekali dan tewas sembilan kali dalam 15 aksi terakhir liga.

Pengerusi Wolves, Jeff Shi menyifatkan Lage sebagai jurulatih yang cemerlang, bekerja keras dan dedikasi, jujur serta baik.

"Sejujurnya, saya tiada kesangsian terhadap kemampuan Bruno (Lage).

Artikel Berkaitan:

"Saya pasti dia akan berjaya di mana-mana sahaja, tetapi prestasi kelab sejak beberapa bulan lalu bermakna kami tiada pilihan kecuali bertindak.

"Dia dan stafnya senang untuk bekerjasama sepanjang berada di Wolves. Agak menyedihkan apabila kami terpaksa membuat keputusan sukar ini," katanya.