Kenapa barang zaman moden lebih mudah rosak?

Contoh paling hampir ialah telefon bimbit yang menjadi barang keperluan wajib ketika ini. Gambar hiasan 123RF
Contoh paling hampir ialah telefon bimbit yang menjadi barang keperluan wajib ketika ini. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

MASIH terpahat dalam ingatan Merak Jalanan mengenai ketahanan sebuah motosikal keluaran tempatan yang menjadi pilihan ramai pengguna pada tahun 1980-an.

Ramai yang kagum dengan keupayaan jentera tersebut yang tahan lasak, kukuh dan tidak mudah meragam.

Tidak hairanlah motor itu menjadi pilihan penjual aiskrim, penjual roti, penjual karpet, pembawa tong gas dan di kampung-kampung terkenal dengan keupayaan membawa getah sekerap.

Apabila pengeluaran model tersebut dihentikan, ramai yang kecewa kerana tiada lagi motor yang tahan lasak seperti itu di pasaran.

Model-model yang ada ketika ini ‘manja’ dan seringkali berhadapan dengan masalah yang tidak terjangka terutama berkaitan sambungan elektronik.

Paling menyakitkan hati, masalah itu muncul apabila motor tersebut tamat tempoh jaminan kerosakan oleh pihak kilang dan kedai.

Maka, sudah pasti pengguna terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk melakukan pembaikan komponen yang boleh mencecah harga ribuan ringgit.

Merak Jalanan bercakap berdasarkan pengalaman sendiri dan situasi yang berlaku turut melibatkan produk lain.

Artikel Berkaitan:

Contoh paling hampir ialah telefon bimbit yang menjadi barang keperluan wajib ketika ini.

Tamat sahaja tempoh jaminan selepas dua tahun, telefon Merak Jalanan sudah mengalami kerosakan skrin yang memerlukan kos pembaikan melebihi RM1,000.

Apabila berkongsi dengan rakan-rakan mengenai kejadian menimpa Merak Jalanan, ramai yang mengadu perkara sama.

Bukan sahaja melibatkan barang elektronik, kereta dan juga kelengkapan rumah, banyak lagi produk zaman sekarang yang tak tahan lama.

Jadi Merak Jalanan tertanya-tanya adakah produk yang dihasilkan ketika ini adalah dengan tujuan supaya tidak tahan lama?