UMNO tak boleh paksa PM buat keputusan: Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, UMNO tidak mempunyai kuasa untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (RU15).

Menurutnya, Ismail Sabri mempunyai majoriti sokongan dan kemampuan untuk membuat keputusan akhir.

"UMNO ada 38 ahli Parlimen. Dalam sistem, 38 ahli Parlimen tidak boleh paksa (buat keputusan). Keputusan harus dibuat Perdana Menteri, sekiranya Perdana Menteri mempunyai kekuatan dan boleh bertindak dengan waras sebagai Perdana Menteri," katanya memetik laporan Astro Awani pada Ahad.

Jumaat lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat ketetapan supaya pembubaran Parlimen dibuat dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.

Dalam pada itu, Anwar juga memaklumkan beliau akan membentangkan usul di Dewan Rakyat berkenaan isu ekonomi yang telah menjejaskan kehidupan rakyat negara ini.

"Saya akan bawa usul berkenaan kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Kita minta Perdana Menteri buat usul, beliau tak mahu jadi saya akan buat usul," katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu dua hari lalu mengemukakan usul agar Dewan Rakyat yang bakal bersidang semula bermula Isnin membahaskan masalah ekonomi negara termasuk kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, melalui satu pemberitahuan bertulis.

Artikel Berkaitan: