GTA belum mula rundingan kerusi

Mukhriz (duduk, dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas program Sidang GTA Perak di sebuah dewan di Bercham pada Ahad.
Mukhriz (duduk, dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas program Sidang GTA Perak di sebuah dewan di Bercham pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Gerakan Tanah Air (GTA) masih belum memulakan sebarang rundingan kerusi di antara parti-parti komponen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, ketika ini GTA melengkapkan organisasi di peringkat negeri selepas pembentukannya di peringkat nasional.

Menurutnya, setakat ini belum dimuktamadkan sebarang sasaran bagi GTA di peringkat negeri tetapi struktur organisasi sudah dibentuk.

"Setelah diumumkan di peringkat nasional maka semua struktur parti kita di peringkat negeri itu dah mula ditubuhkan termasuk di Perak.

"Jadi di Perak, GTA ini diuruskan oleh Putra dan semua parti yang lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersedia untuk bersama dalam rakan GTA ini di Perak," katanya kepada pemberita selepas program Sidang GTA Perak di sebuah dewan di Bercham di sini pada Ahad.

Hadir sama, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali; Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia, Zamani Ibrahim dan Presiden Parti Perikatan India Muslim (Iman), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.

Pada 27 September lalu, Mukhriz dalam satu kenyataan memaklumkan GTA menyasarkan kerusi majoriti Melayu dan pinggir bandar untuk ditandingi pada PRU15.

Beliau berkata, sasaran awal adalah untuk meletakkan calon berpotensi boleh menang di 120 kerusi terpilih bagi Parlimen, manakala jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih dalam perbincangan.

Artikel Berkaitan:

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan gagasan baharu berteraskan agenda Melayu dan Islam dikenali sebagai GTA pada 4 Ogos lalu.

GTA dipengerusikan oleh Dr Mahathir selaku Pengerusi Penaja, manakala empat presiden parti di bawah GTA dilantik menjadi Timbalan Pengerusi.

Ia terdiri daripada Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.