PRU15: GTA sasar kerusi majoriti Melayu

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

ALOR SETAR - Gerakan Tanah Air (GTA) menyasarkan kerusi majoriti Melayu dan pinggir bandar untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ini kerana gabungan itu merupakan sebuah gagasan atau gerakan yang ditunjangi oleh parti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu Melayu.

Menurutnya, sasaran awal adalah untuk meletakkan calon berpotensi boleh menang di 120 kerusi terpilih bagi Parlimen, manakala jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih dalam perbincangan.

“Secara automatik kawasan-kawasan Melayu yang menjadi sasaran GTA termasuk pinggir bandar yang mempunyai undi campuran. Ini bermakna, ada banyak juga kerusi yang kemungkinan besar kami tidak bertanding,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Mukhriz yang juga Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, GTA akan menawarkan sejumlah calon yang akan bertanding pada PRU15 namun jumlah tersebut hanya akan dimuktamadkan apabila tarikh pilihan raya diumumkan.

“Kita tidaklah berhasrat untuk bertanding 222 kerusi Parlimen atau semua kerusi DUN dalam negeri-negeri yang akan turut bubar serentak dengan Parlimen. Ada kerusi-kerusi tertentu saja yang boleh kita tawarkan calon GTA.

“Setakat ini, anggaran kerusi Parlimen lebih kurang 120, hanya kerusi DUN belum ada ketentuan lagi. Sebabnya kita pun tidak pasti berapa negeri akan bubar, termasuk di Kedah pun kita tak pasti. Kena tunggulah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jerlun itu percaya persaingan sengit akan berlaku di kawasan majoriti Melayu susulan ia turut menjadi tumpuan UMNO mahupun Pas.

Artikel Berkaitan:

“Saya andaikan berlaku seperti PRU14 lepas. Kalau sebelum ini kami wakili Bersatu, sekarang Pejuang akan bertembung dengan UMNO dan Pas. Ini suatu kepastian kerana kawasan tersebut juga merupakan sasaran dua parti berkenaan,” katanya.

Mukhriz tegaskan, GTA perlu meyakinkan orang Melayu bahawa mereka tidak seharusnya menyokong UMNO atau Pas pada PRU15 berdasarkan kepada prestasi kedua-dua parti itu.

“Sudah terbukti mereka gagal membela nasib rakyat. UMNO dengan masalah penyelewengan pimpinannya manakala Pas gagal menguruskan segala benda. Malah kementerian yang diterajui pemimpin dari Pas pula dilihat tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang.

“Di Kedah pula, rakyat dapat menilai prestasi kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan saya kira semua menantikan pilihan raya untuk tolak beliau. Tempias beliau itu akan terpalit pada Pas sekali. Kepimpinan yang gagal termasuk partinya haruslah ditolak,” katanya lagi.

Mengulas sama ada beliau akan mempertahankan kerusi ditandingi sebelum ini, iaitu kerusi Parlimen Jerlun dan DUN Jitra, Mukhriz sedia menawarkan diri untuk kekal di kedua-dua kerusi terbabit bagi mewakili GTA, namun keputusan muktamad akan diputuskan secara bersama oleh kepimpinan tertinggi parti.

“Perlu tunggu dan lihat dahulu. Selagi saya mendapat sokongan, selagi itulah saya menawarkan diri, InsyaAllah,” katanya.