BN, PH hampir selesai muktamad rundingan kerusi - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Riang Ria Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di UiTM Puncak Alam, hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Riang Ria Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di UiTM Puncak Alam, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA SELANGOR - Barisan Nasional (BN) hampir selesai memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembahagian kerusi dijangka dapat diselesaikan dalam waktu terdekat

"Kita hampir memuktamadkan pembahagian kerusi terlebih dahulu dan selepas itu baru kita kemukakan (senarai) nama calon," katanya ringkas ketika ditemui pada Majlis Riang Raya MPP UiTM di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam di sini pada Khamis.

Diminta mengulas mengenai peruntukan sebanyak RM10,000 kepada semua Majlis Perwakilan Pelajaran (MPP) di seluruh kampus UiTM di negara ini, Ahmad Zahid berkata, setiap MPP di Kampus UiTM akan menerima peruntukan tersebut dalam waktu terdekat.

Ujar beliau, setiap MPP perlu melaksanakan pelbagai program mengikut garis panduan ditetapkan.

"Antara aktiviti boleh dilaksanakan seperti menangani permasalahan penuntut terutama yang tidak berkemampuan selain mengadakan program motivasi pada cuti semester dan pergi ke kawasan desa untuk membantu (menarik minat) anak-anak masuk ke pengajian tinggi.

"Sekiranya program ini berjaya dilaksanakan mengikut garis panduan tersebut, saya akan menambah lagi peruntukan sebanyak RM10,000 pada akhir tahun ini," jelas beliau.