Mangsa banjir kilat di Pontian, Kluang meningkat

Anggota APM Johor menyiapkan kelengkapan di PPS Melayu Raya, Pontian. - Foto APM Johor.
Anggota APM Johor menyiapkan kelengkapan di PPS Melayu Raya, Pontian. - Foto APM Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Daerah Pontian dan Kluang terus menunjukkan peningkatan mangsa banjir apabila merekodkan 75 mangsa daripada 26 keluarga di tempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), di kedua-dua daerah berkenaan, pada Ahad.

Dalam satu kenyataan, pihak Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) menegaskan, setakat 4 petang Ahad, kedua-dua daerah berkenaan dilihat menunjukkan peningkatan dari segi jumlah mangsa banjir kilat susulan hujan lebat pada 10 pagi Ahad.

Bagaimanapun menurut kenyataan berkenaan, tidak ada daerah tambahan yang dilanda banjir kilat berkenaan, biarpun jumlah mangsa dan keluarga yang terjejas didapati meningkat berbanding sebelumnya.

“Setakat 4 petang Ahad, jumlah mangsa banjir didapati meningkat kepada 75 orang daripada 26 keluarga, berbanding 34 daripada 10 keluarga sebelum 1.30 petang, Ahad.

“Namun setakat ini, tidak ada PPS tambahan dibuka di mana 46 mangsa daripada 13 keluarga dari kawasan terjejas, Kampung Sri Gambut, Pontian ditempatkan di PPS SK Melayu Raya bagi daerah Pontian.

“Selain itu, seramai 29 mangsa daripada 13 keluarga dari kawasan terjejas, Kampung Tengah Renggam, ditempatkan di PPS SK Sri Kampung Renggam,” menurut kenyataan itu lagi.

Menerusi kenyataan berkenaan, pihak JPBD turut memaklumkan hujan lebat melebihi dua jam pada 10 pagi Ahad, telah menyebabkan beberapa rumah dinaiki air.

Susulan itu, pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor bertindak segera membantu proses pemindahan bagi menempatkan kesemua mangsa di PPS berhampiran.

Artikel Berkaitan: