PRU15: DAP akan lawan UMNO di kerusi tambahan

Anthony (empat dari kanan) menyerahkan bendera PH kepada Kor Ming (tiga dari kanan) ketika merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak ke-21 di sebuah hotel pada Ahad.
Anthony (empat dari kanan) menyerahkan bendera PH kepada Kor Ming (tiga dari kanan) ketika merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak ke-21 di sebuah hotel pada Ahad.
A
A
A

IPOH - DAP dijangka mendapat kerusi Parlimen tambahan di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang memberi bayangan kerusi tambahan tersebut merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu.

Tanpa mendedahkan nama kawasan Parlimen itu, beliau menjelaskan, perkara itu sudah dipersetujui menerusi rundingan bersama pimpinan parti-parti Pakatan Harapan (PH) yang lain.

"Memang DAP Perak akan diperuntukkan tambahan kerusi Parlimen, tetapi mana satu kerusi ataupun nama kerusi, saya tunggu bersama rakan-rakan PH sebagai tanda penghormatan kepada Majlis Pimpinan untuk kita umum secara bersama.

"Saya boleh melaporkan kepada perwakilan pada hari ini, DAP Perak akan bertanding tambahan kerusi Parlimen dan tambahan kerusi Parlimen ini, kita akan lawan calon UMNO, kita akan masuk kawasan majoriti pengundi Melayu," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak ke-21 di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Anthony berkata, PH akan menjadikan Perak sebagai tumpuan utama pada PRU15 nanti untuk memastikan mereka kembali merampas negeri itu.

Jelasnya, Perak merupakan negeri yang penting sebagai usaha mewujudkan koridor negeri bagi PH selepas mereka berjaya menguasai Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

"Koridor ini bukan sahaja dari segi politik. Kita nak bentuk satu konsep pembangunan yang baharu supaya keempat-empat negeri ini kalau kita kuasai bersama kita ada kerjasama strategik kerana keempat-empat negeri ini ada potensi ekonomi yang cukup besar.

Artikel Berkaitan:

"DAP bersama rakan-rakan komponen mesti usaha sedaya upaya merangka sebarang strategi yang paling penting untuk kita menang dan bentuk kerajaan Perak dalam PRU15 ini," katanya.

Sementara itu, ketika sidang akhbar selepas konvensyen berkenaan, Anthony berkata, jumlah tambahan kerusi dan lokasi hanya akan diumumkan secara bersama oleh pimpinan tertinggi PH.

Menurutnya, selain kerusi Parlimen, DAP juga sedang berunding untuk menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.