Bajet 2023: Pekerja mohon ringankan beban kewangan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menerusi Bajet 2023 yang akan dibentangkan 7 Oktober ini, warga pekerja mengharapkan agar kerajaan terus menggiatkan usaha membantu mengurangkan beban kewangan mereka dalam situasi negara masih berdepan fasa pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, kerajaan perlu melihat keperluan meningkatkan pemberian bantuan tunai secara terus serta bersasar bukan sahaja kepada golongan pekerja malah untuk warga emas, pelajar sekolah, orang kurang upaya (OKU), Orang Asli dan ibu tunggal.

"Mereka ini juga adalah golongan yang sama-sama membantu dalam apa cara sekalipun di dalam pemulihan negara dan ekonomi negara,” katanya kepada Bernama.

Mohd Effendy berkata, kerajaan perlu memberi insentif bantuan kewangan seperti Program Subsidi Upah atau pengecualian cukai kepada majikan terutama sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menggalakkan mereka melaksanakan dasar gaji minimum apabila ia dikuatkuasakan pada Januari 2023.

"Di samping penguatkuasaan gaji minimum bagi meringankan dan menampung beban pekerja-pekerja swasta, MTUC memohon agar kerajaan mewajibkan semua syarikat swasta melaksanakan pemberian Elaun Kos Sara Hidup (COLA) kepada semua pekerja sektor swasta di seluruh negara,” katanya.

Mohd Effendy turut menyarankan agar kerajaan memperuntukkan bajet untuk "Green Job” demi mewujudkan peluang pekerjaan baharu selain menyediakan bajet tambahan dalam menyediakan akses kepada perumahan, pendidikan, penjagaan kesihatan, keselamatan dan pengangkutan berkualiti.

Katanya, perkara lain yang diharapkan MTUC ialah peluasan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) kepada pesara serta warga emas dan meningkatkan jumlah bayaran pencen kepada semua pekerja yang telah menyokong dan terlibat dalam agenda Penswastaan Malaysia sebelum ini.

Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman menggesa kerajaan menangani isu modal insan memandangkan terdapat kekurangan bakat tempatan berbanding kemahiran digital dan inovatif.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, berdasarkan Tinjauan MEF mengenai Isu Berkaitan Bajet 2023 mendedahkan bahawa 76 peratus syarikat responden kini menghadapi kekurangan tenaga kerja selepas ekonomi dibuka semula manakala 84 peratus menghadapi kesukaran untuk mengambil pekerja tempatan.

"Ketidakpadanan kemahiran telah menjadi isu berterusan di Malaysia kerana kemahiran pencari kerja, terutamanya siswazah baharu, tidak sepadan dengan keperluan industri. Keadaan ini menyebabkan beberapa majikan mencari bakat yang sesuai di luar negara dan mengambil ekspatriat untuk jawatan tertentu,” tambahnya.

Oleh itu, beliau mencadangkan kerajaan agar memberi perhatian kepada peningkatan perkaitan sistem pembangunan kemahiran dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui model pembelajaran yang diterajui industri, termasuk penubuhan majlis kemahiran khusus sektor dan penggunaan program perantisan oleh industri berkaitan.

Syed Hussain juga menggesa kerajaan memastikan proses permohonan pekerja asing yang lebih cekap, lancar dan telus dengan menyediakan majikan aliran yang jelas dan konsisten berhubung garis panduan, kriteria, dokumentasi serta terma dan syarat.

"Kerajaan perlu memendekkan masa untuk pekerja asing tiba di negara ini kerana syarikat amat memerlukan pekerja untuk mengembangkan dan meningkatkan perniagaan mereka dengan segera.

"MEF juga menggesa kerajaan untuk berbincang dan berunding dengan negara sumber untuk mengawal dan mengehadkan yuran pengambilan yang dikenakan oleh ejen di negara sumber kerana sebarang bayaran yang dikenakan oleh ejen di negara sumber akhirnya akan dibayar oleh majikan di Malaysia di bawah dasar pengambilan sifar bayaran,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dasar negara mengenai penggajian untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas perlu dirangka selain mencadangkan agar pengurangan kadar cukai perlu diberikan kepada pekerja dalam lingkungan umur tersebut dan insentif cukai perlu diberikan kepada majikan kategori tersebut.

Menyedari kepentingan Pelaburan Langsung Asing (FDI), Syed Hussain juga berharap kerajaan mengutamakan dasar yang bertujuan menarik pelabur asing berkualiti terutamanya yang boleh merangsang inovasi dan kemajuan teknologi.

"Peluang untuk FDI boleh dimanfaatkan melalui pengesahan Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau.

"Kerajaan harus meratifikasi CPTPP tanpa berlengah lagi. Baki penjajaran perundangan Malaysia mungkin dilakukan selepas ratifikasi CPTPP kerana ia perlu untuk menangani peraturan dan amalan yang menyekat kemasukan perniagaan dan persaingan pasaran,” katanya. - Bernama