Malaysia sasar status Negara Sukan menjelang 2025

Lian Ker
Lian Ker
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan Malaysia sebagai sebuah 'Negara Sukan' menjelang 2025 dengan nilai skor Indeks Budaya Sukan Malaysia (IBSM) melebihi 75 peratus.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, pencapaian IBSM pada 2021 ialah 52 peratus secara keseluruhan, menunjukkan keterlibatan rakyat dalam aktiviti sukan masih sederhana.

"Matlamat kita ialah supaya nilai ini dapat ditingkatkan ke tahap lebih baik dengan setiap tahun peningkatan indeks dipantau melalui agensi berkaitan bagi penambahbaikan sebarang aktiviti berkaitan sukan," katanya selepas merasmikan Program 1,000 Liga peringkat kebangsaan di pekarangan Stadium Darul Makmur di Kuantan.

Menurutnya, kejayaan mencapai sasaran indeks itu juga dapat memastikan kesihatan rakyat lebih baik selain menjadikan sukan sebagai 'industri' yang menyediakan peluang serta kerjaya dalam bidang berkenaan.

Penganjuran Program 1,000 Liga juga merupakan satu daripada inisiatif bagi meningkatkan dan memperluas aktiviti sukan ke peringkat komuniti yang diharapkan dapat meningkatkan skor IBSM untuk mencapai sasaran Negara Sukan.

Program yang bermula sejak Ogos lepas itu melibatkan penganjuran acara sukan seperti ping pong, badminton, taekwondo dan memanah yang disasarkan akan menarik 100,000 penyertaan rakyat Malaysia secara keseluruhannya di tiga peringkat.

Setakat ini, 30 peratus daripada keseluruhan penganjuran iaitu 854 liga di peringkat daerah, negeri (120) dan kebangsaan (26) telah berlangsung dengan baki penganjuran dijadual dapat diselesaikan pada penghujung bulan depan. - Bernama

Artikel Berkaitan: