'Top 5 UMNO' tiada kuasa perundangan tekan PM adakan PRU15

Hassan
Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - 'Top 5 UMNO' tidak ada kuasa perundangan untuk menekan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen supaya diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam keadaan banjir.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, bagi membolehkan PRU15 diadakan, adalah tidak bertanggungjawab apabila Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memetik Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Yang di-Pertuan Agong mesti bertindak atas nasihat Perdana Menteri bagi membolehkan PRU15 diadakan.

"Ahmad cuba menyembunyikan fakta bahawa Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa budi bicara kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bersetuju atau menolak permohonan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen di bawah Perkara 40(2)(b). Malaysia sebuah negara demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

"Kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40 (2)(b) untuk menjamin Parlimen Malaysia tidak dibubarkan sesuka hati oleh parti politik berkuasa adalah satu jaminan Perlembagaan Persekutuan supaya Negara Malaysia tidak jatuh ke tangan kuasa ologarki seperti 'Top 5 UMNO'," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam Jumaat mencapai ketetapan bahawa pembubaran Parlimen perlu dilakukan dalam masa terdekat bagi membolehlan PRU15 diadakan tahun ini.

Ahmad berkata, berdasarkan keputusan itu, Ismail Sabri akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertua Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Hassan berkata, PRU15 mahu diadakan pada tahun ini dalam keadaan Presiden UMNO sedang menghadapi pendakwaan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan keputusan akhir kes pembelaan dijangka pada Disember ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, 'Top 5 UMNO' mahu PRU15 diadakan sebelum keputusan kes mahkamah Presidennya dan oligarki UMNO itu tidak peduli musim tengkujuh atau banjir malah tidak menghiraukan kesusahan yang akan ditempuh rakyat.

"Mereka hanya mementingkan usaha merebut kuasa. Ini satu penyalahgunaan kuasa sekiranya Perdana Menteri takut dan tunduk kepada kuasa oligarki UMNO," tegas beliau.

Justeru katanya, Malaysia yang demokrasi mesti diselamatkan daripada golongan oligarki UMNO yang fasis.