Pas Kedah tiada masalah jika bergerak tanpa UMNO

Dr Mohd Hayati (dua dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Program Gotong- Royong Mega 2.0 Perangi Aedes Peringkat Negeri Kedah 2022 di Taman Wira Mergong, Alor Setar pada Sabtu.
Dr Mohd Hayati (dua dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Program Gotong- Royong Mega 2.0 Perangi Aedes Peringkat Negeri Kedah 2022 di Taman Wira Mergong, Alor Setar pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Pas Kedah tidak mempunyai masalah untuk bergerak menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tanpa UMNO sekiranya perkara tersebut diputuskan di peringkat kepimpinan Pas pusat.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, sebelum ini parti itu sudah biasa bergerak secara solo pada PRU yang lalu.

"Insya-ALLAH boleh (menghadapi PRU15)... kita mampu, yang lepas pun kita (boleh bergerak solo), kita (sudah) solo dari mula-mula dulu, tiada masalah," katanya pada sidang akhbar di Alor Setar pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Jumaat bahawa Pas bersedia menghadapi PRU15 tanpa UMNO-BN selepas kemelut kedua-dua parti belum menemui jalan penyelesaian.

Jelas Menteri Besar Kedah itu, jentera Pas berada pada tahap terbaik untuk menghadapi PRU15 bila-bila masa sahaja bersama gabungan Perikatan Nasional (PN).

Dr Mohd Hayati yang juga Exco Kesihatan Negeri Kedah berkata, mereka bersedia dan akan akur pada setiap arahan yang akan ditetapkan oleh kepimpinan parti.

Sebelum itu, beliau menghadiri Program Gotong-Royong Mega 2.0 Perangi Aedes Peringkat Negeri Kedah 2022 di Taman Wira Mergong, Alor Setar.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Othman Warijo dan Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai.

Artikel Berkaitan: