Malaysia perlu 218 pakar paliatif

Khairy (dua dari kanan) beramah mesra dengan pasukan perubatan Hospital Rembau selepas merasmikan Sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia 2022 di Rembau pada Sabtu.
Khairy (dua dari kanan) beramah mesra dengan pasukan perubatan Hospital Rembau selepas merasmikan Sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia 2022 di Rembau pada Sabtu.
A
A
A

REMBAU - Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 218 pakar paliatif bagi populasi 32 juta rakyat di negara ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ketika ini, negara hanya mempunyai 19 orang pakar perubatan paliatif dan 32 orang pakar perubatan pelatih.

"Mereka inilah yang menggerakkan pasukan rawatan paliatif di seluruh negara, namun jumlah ini masih jauh tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa.

"Sebagai contoh di Selangor ada lima saja pakar manakala di Sabah, Sarawak serta Pahang hanya ada seorang dan Kelantan, Terengganu dan Perlis tiada," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia 2022 di Hospital Rembau di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Oleh sebab itu Khairy berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan untuk mempunyai 70 pakar paliatif menjelang tahun 2030.

Tambahnya, KKM juga mahu memastikan rawatan itu tidak hanya tertumpu di hospital semata-mata tetapi juga disediakan di klinik kesihatan dan rawatan di rumah.

Artikel Berkaitan:

"Rawatan paliatif ini merupakan satu rawatan yang sangat diperlukan memandangkan bilangan rakyat Malaysia yang berdepan dengan penyakit terminal semakin meningkat.

"Di Malaysia, dianggarkan seramai 150,000 pesakit dewasa memerlukan rawatan paliatif, namun KKM hanya mampu menampung rawatan sekitar 10 peratus ke 15 peratus saja," katanya.

Selain itu katanya, bermula tahun ini, kebanyakan hospital negeri telah mempunyai pakar paliatif residen dan bagi negeri Perlis, Terengganu dan Kelantan, perkhidmatan perubatan paliatif akan berkembang menjelang tahun 2025.

Ujarnya, sepanjang tiga dekad lalu, sebanyak 30 badan kebajikan bukan kerajaan telah membantu menyalurkan perkhidmatan paliatif di rumah pesakit seluruh negara.