Ekonomi berkembang sederhana pada 2019, kesan faktor luaran

Parlimen Malaysia
Parlimen Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka berkembang sederhana pada 2019 susulan faktor luaran yang mencabar, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata antara faktor itu adalah penutupan sementara operasi pentadbiran Amerika Syarikat yang paling lama dalam sejarahnya iaitu selama 35 hari mulai 22 Dis, 2018 sehingga 25 Jan, 2019 yang memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negara tersebut dan secara tidak langsung kepada pertumbuhan ekonomi dunia bagi suku pertama 2019.

"Selain itu ketidaktentuan dasar monetari Amerika Syarikat, kesan pertumbuhan ekonomi China yang lebih perlahan, serta ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang masih belum berakhir turut memberi kesan kepada ekonomi dunia dan seterusnya kepada ekonomi negara,” katanya di persidangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang ingin tahu unjuran ekonomi Malaysia bagi tahun ini dan mekanisme penampan ekonomi yang dirancang kementerian itu bagi mengelakkan krisis ekonomi.

Mohd Radzi berkata berdasarkan Laporan Tahunan 2018 yang diterbitkan Bank Negara Malaysia, pertumbuhan ekonomi negara pada 2019 akan disokong oleh pertumbuhan domestik terutamanya permintaan sektor swasta yang kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Penggunaan swasta disasarkan berkembang 6.6 peratus manakala pelaburan swasta pula dijangka meningkat sebanyak 4.9 peratus pada 2019, katanya.

Dalam masa yang sama beliau berkata kesemua sektor ekonomi utama negara turut disasar mencatat perkembangan positif dengan sektor perkhidmatan dijangka meningkat 5.7 peratus dan perkilangan pula 4.8 peratus.

Kedua-dua sektor berkenaan juga kekal sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara iaitu dalam lingkungan 79 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan kukuh dan berkembang sekitar 4.3 peratus hingga 4.8 peratus pada 2019, katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: