Segera bina sistem rawatan kumbahan di Pulau Perhentian

Kerajaan perlu segera bina sistem rawatan kumbahan berpusat bagi mengelak berlaku penularan penyakit di Pulau Perhentian. Gambar kecil: Tengku Zaihan
Kerajaan perlu segera bina sistem rawatan kumbahan berpusat bagi mengelak berlaku penularan penyakit di Pulau Perhentian. Gambar kecil: Tengku Zaihan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan perlu menyegerakan pembinaan sistem rawatan kumbahan berpusat atau Sewage Treatment Plant (STP) bagi mengelak berlakunya pencemaran dan penularan penyakit di Pulau Perhentian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, langkah itu perlu bagi menjamin kebersihan sistem kumbahan secara optimum di kawasan peranginan yang menjadi tumpuan pelancong itu.

"Setakat ini, Pulau Perhentian masih belum memiliki sistem STP berpusat. Ada beberapa resort atau chalet yang menggunakan sistem pengurusan kumbahan sendiri, namun ia tidak bersifat kekal.

"Kita dapati terdapat ada juga resort atau chalet yang masih belum ada sistem kumbahan. Kita khuatir keadaan itu akan menyebabkan berlakunya pencemaran apabila sisa kumbahan itu mengalir ke laut," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Menurut Tengku Zaihan, walaupun terdapat pengusaha pelancongan yang mengambil inisiatif membina sendiri STP, ia belum mencukupi untuk menjamin keselamatan dan kebersihan di kawasan itu.

"STP berpusat perlu dan amat penting bagi mengawal kebersihan air kumbahan secara keseluruhan. Kita khuatir keadaan itu menjadi punca dua pelancong jatuh sakit sebaik sahaja pulang dari Pulau Perhentian sebagaimana dilaporkan media," katanya.

Pada Jumaat, sebuah portal berita melaporkan kira-kira 40 pelancong mendakwa jatuh sakit selepas pulang dari bercuti di pulau berkenaan baru-baru ini.

Berdasarkan artikel yang disiarkan, mangsa mendakwa mereka yang terdiri 27 dewasa, tujuh kanak-kanak serta enam kanak-kanak kecil mengalami muntah-muntah, manakala sebahagian daripada mereka mengalami cirit-birit dan demam panas sehingga dimasukkan ke hospital.

Artikel Berkaitan:

Katanya, seorang kanak-kanak berusia setahun disahkan menghidap kepialu, manakala dua lagi kanak-kanak mengalami keracunan darah.

Keadaan sama turut dilaporkan berlaku pada Jun lalu di mana enam wanita mendakwa mengalami keracunan makanan walaupun mematuhi nasihat supaya hanya makan makanan di resort tempat mereka menginap.