'Sekali polis, selamanya polis'

Vesawanahan menceritakan detik cemas ketika dirinya diculik seorang lelaki dan diugut bunuh ketika berkhidmat sebagai anggota polis.
Vesawanahan menceritakan detik cemas ketika dirinya diculik seorang lelaki dan diugut bunuh ketika berkhidmat sebagai anggota polis.
A
A
A

KLANG - Berdepan ugutan akan dibunuh jika dirinya anggota polis antara detik-detik cemas yang ditempuhi P Vesawanahan ketika diculik seorang lelaki sekitar tahun 70-an.

Menceritakan semula kejadian itu, Vesawanahan berkata, kejadian itu berlaku di sebuah negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia ketika dia baru pulang daripada satu tugasan.

"Saya tiada kenderaan masa tu, saya hanya tumpang kawan, masa tengah tunggu kawan, tiba-tiba datang seorang lelaki menaiki sebuah kenderaan.

"Dia keluar dari kereta dan datang ke arah saya dan saya sangkakan dia hendak bertanyakan jalan, namun tiba-tiba dia acu pisau kepada saya dan meminta saya mengikutinya," katanya.

Katanya, suspek kemudian meminta untuk masuk ke keretanya.

"Ketika dalam kereta, dia minta saya buka beg yang saya bawa, kad kuasa saya ada dalam beg itu.

"Mujur keadaan masa itu gelap jadi dia tak berapa nampak, cuma dia kata pada saya kalau dia dapati saya polis memang dia akan bunuh saya, berderau darah saya ketika itu," katanya.

Nasib menyebelahinya apabila rakannya tiba di lokasi dan terus berkas suspek.

Artikel Berkaitan:

"Memang saya rasakan nyawa saya di hujung tanduk masa itu, mungkin dia syak saya polis kerana saya berpakaian agak kemas.

"Suspek itu merupakan perompak yang aktif melakukan kegiatan samun, jadi bila dia nampak saya seorang diri jadi dia nak samun saya," katanya.

Vesawanahan (kiri) menunjukkan antara penghargaan yang diterimanya kepada Baharudin (kanan) sepanjang perkhidmatan sebagai anggota polis.
Vesawanahan (kiri) menunjukkan antara penghargaan yang diterimanya kepada Baharudin (kanan) sepanjang perkhidmatan sebagai anggota polis.

Tidak gentar

Biarpun hampir puluhan tahun kejadian itu berlaku, namun ia sedikit pun tidak menggentarkan jiwa dan semangat Vesawanahan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anggota polis.

Bertugas sebagai anggota Cawangan Khas suatu ketika dahulu memberikan pengalaman yang amat bermakna dalam hidupnya.

Lebih bermakna apabila tugas diberikan kepadanya adalah jurugambar yang mana perlu merakam pelbagai detik melibatkan operasi, serbuan, himpunan dan pelbagai kejadian yang melibatkan pasukan keselamatan.

Menceritakan pengalamannya semasa perhimpunan sekitar tahun 1998, beliau berkata, dirinya pernah ditahan gara-gara disyaki peserta himpunan berkenaan.

Vesawanahan berkata, ketika itu beliau ditugaskan untuk mengambil gambar perhimpunan yang diadakan di ibu negara itu.

"Ketika itu, saya ditugaskan untuk mengambil gambar, saya berpakaian biasa dan kalau orang tengok, orang akan ingat saya ini memang jurugambar biasa, bukan anggota polis.

"Saya terpaksa berpusu mencelah masuk dalam lautan peserta ketika itu, selesai ambil gambar peserta, saya masuk ke kawasan yang mana tempat anggota polis berkawal, masa itulah saya ditangkap," katanya.

Menurutnya, ketika itu, kamera dan pelbagai barangan peribadi miliknya dirampas.

"Masa awal kena tahan, saya dah cakap kepada anggota bertugas yang saya ini anggota polis, namun mungkin melihatkan gaya saya, jadi dia tak percaya.

"Saya kemudiannya dibawa ke sebuah balai polis, saya kemudiannya menunjukkan kad kuasa dan memberikan mereka nombor pegawai saya, selepas itu baru saya dilepaskan," katanya sambil tersenyum.

(Gambar kiri) Antara pingat yang dianugerahkan kepada Vesawanahan atas khidmat bakti yang dicurahkan. (Gambar kanan) Vesawanahan segak menyarung uniform Sang Saka Biru ketika bertugas.
(Gambar kiri) Antara pingat yang dianugerahkan kepada Vesawanahan atas khidmat bakti yang dicurahkan. (Gambar kanan) Vesawanahan segak menyarung uniform Sang Saka Biru ketika bertugas.

Rakam detik komunis ditangkap

Hampir 40 tahun berkhidmat sebagai anggota polis memberikan banyak kenangan yang sangat bermakna dalam dirinya.

Vesawanahan berkata, dirinya amat berbangga apabila mengenang kembali perkhidmatannya yang bertugas sejak era menentang pengganas komunis.

"Tugas saya bukan menangkap komunis tapi merakam detik komunis ditangkap, gambar-gambar yang saya ambil ini digunakan sebagai bukti tangkapan.

"Namun, walaupun hanya sebagai jurufoto, namun pengalaman yang diperoleh sangat bernilai harganya," katanya.

Jelasnya, pengganas komunis ini kebanyakannya mahu meninggalkan perjuangan dalam hutan, namun bimbang nyawa mereka terancam.

"Pengganas komunis seringkali dimomokkan bahawa mereka akan diberikan layanan yang teruk sekiranya ditahan oleh pasukan keselamatan.

"Selain itu, semangat mereka ini sebenarnya sudah luntur dan ramai dalam kalangan mereka mahu menyerah diri, namun bimbang nyawa terancam, bukan ancaman daripada pasukan keselamatan tapi pihak mereka sendiri," katanya.

Vesawanahan (kanan) bersama rakan ketika penugasan sekitar tahun 1980-an.
Vesawanahan (kanan) bersama rakan ketika penugasan sekitar tahun 1980-an.

Menurutnya, perkara ini dikongsikan oleh salah seorang pengganas komunis yang ditahan kepadanya.

"Mana-mana pengganas yang didapati belot atau mahu menyerah diri, memang nyawa mereka akan melayang.

"Tindakan sedemikian diambil bagi mengelakkan rahsia dan pergerakan pengganas komunis ini bocor kepada pihak berkuasa," katanya.

Jelas Vesawanahan, ramai pengganas komunis sebenarnya boleh dikatakan lebih bersyukur apabila ditangkap selain mati menjadi pilihan terakhir mereka.

"Perkara ini berlaku kerana mereka sedar apa yang diperjuangkan selama ini hanyalah sia-sia, selain itu emosi serta fizikal lemah kerana hampir puluhan tahun berada dalam hutan.

"Malah ada pengganas komunis yang ditahan mengakui mereka menyesal kerana tersilap langkah kerana melawan kerajaan pada ketika itu," katanya.

Minat seragam polis

Bagi dirinya, bertugas sebagai anggota polis adalah satu perkara yang amat membanggakan.

Menyertai polis sekitar tahun 1976 adalah satu impiannya sejak kecil lagi.

"Sejak dari kecil saya amat meminati kerjaya sebagai anggota polis, dengan seragam yang segak dan kemas.

"Selain itu, anggota polis ini dipandang tinggi oleh masyarakat kerana tugasnya dalam memastikan keselamatan awam terjamin, jadi itu antara sebab saya sertai polis dan keluarga pun tidak membantah malah memberikan sepenuh sokongan kepada saya," katanya.

Kehidupan seorang anggota polis suatu ketika dahulu tidak semudah yang disangka.

Vesawanahan berkata, gaji pertama yang diperoleh adalah sekitar RM60.

"Kalau fikir nak gaji banyak, nak senang, bukan dengan cara sertai polis, polis bukan tempat untuk nak kejar kemewahan, harta dan kesenangan.

"Masuk polis ibarat kita serahkan sepenuh jiwa dan raga terhadap negara, mahu pastikan keamanan terus terjaga, itu antara tujuan yang perlu ditanam dalam diri sebelum sertai polis," katanya.

Biarpun sudah hampir enam tahun tidak bergelar anggota polis, namun semangat dan cinta Vesawanahan terhadap bidang kepolisan amat tinggi.
Biarpun sudah hampir enam tahun tidak bergelar anggota polis, namun semangat dan cinta Vesawanahan terhadap bidang kepolisan amat tinggi.

Sentiasa amanah dalam menjalankan tugas

Biarpun sudah hampir enam tahun tidak bergelar sebagai anggota polis apabila bersara sekitar 2016, namun semangat dan cinta Vesawanahan terhadap bidang kepolisan amat tinggi.

Bagi dirinya, amanah yang dipertanggungjawabkan sepanjang bergelar anggota polis banyak memberi didikan kepadanya.

"Kerja apa pun yang kita lakukan, kita mesti letakkan integriti dan amanah itu yang pertama setiap masa.

"Jangan sesekali termakan dengan godaan wang ringgit dan sebagainya kerana itu akan menjadikan kita mudah untuk dijual beli, kerja kena jujur dan ikhlas untuk negara tercinta, itulah yang saya pegang sehingga kini," katanya.

Jelasnya, rasuah adalah kejahatan yang paling besar perlu dielakkan.

"Rasuah ini beri kesan yang besar, bukan pada diri si penerima itu sendiri malahan terhadap masyarakat dan keluarga, saya paling pantang kalau bab melibatkan rasuah.

"Bagi saya, buat apa kita kejarkan wang ringgit dengan cara yang haram. Kena ingat, setiap perbuatan jahat mesti ada balasannya, kesan itu ada, kalau tidak pada kita, ia akan beri kesan kepada keluarga," katanya.

Masyarakat merupakan elemen penting yang seharusnya sentiasa memberikan sokongan terhadap pihak polis.

Vesawanahan berkata, terdapat segelintir masyarakat yang berpandangan tugas polis adalah mudah dan kerap mencari salah orang ramai.

"Polis ini bertindak sebagai pelindung kepada masyarakat, di kala kita nyenyak tidur, di luar sana, pihak polis sentiasa menjaga keselamatan kita.

"Anggota polis mengorbankan masa bersama keluarga tidak kira siang atau malam bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa dijaga," katanya.

Jelasnya, stigma negatif terhadap anggota polis perlu ditangkis dan diperbetulkan.

"Jangan sesekali meremehkan dan memandang rendah terhadap tugas anggota polis, jasa mereka terlalu besar dan amat bernilai.

"Bantulah polis terutamanya melibatkan jenayah, salur maklumat sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan, dan jangan sesekali takut untuk bekerjasama dengan polis kerana sebagai masyarakat, itulah tanggungjawab yang seharusnya dilakukan," katanya.

Pesara polis merupakan golongan yang seharusnya diangkat dan dihargai memandangkan pengorbanan diberikan amat bermakna buat semua.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa pesara polis, Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam (Al-Qalam) Malaysia diketuai presidennya, Datuk Seri Dr Baharudin Abu hadir menziarahi Vesawanahan di rumahnya di Klang baru-baru ini.

Baharudin berkata, program ziarah ini merupakan salah satu insiatif pihaknya dalam menghargai golongan pesara polis sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti yang dicurahkan selama ini.

"Sebenarnya tidak terhitung sumbangan yang dicurahkan pesara anggota polis ini terhadap tanah air, jadi Al-Qalam mengambil insiatif menziarahi Vesawanahan ini.

"Ramai lagi di luar sana, golongan pesara polis yang perlu diberikan perhatian, inisiatif yang Al-Qalam lakukan ini diharap dapat dijadikan ikutan kepada masyarakat di luar sana, kita perlu mendengar kisah perjuangan mereka agar kita lebih menghargai nikmat keamanan yang dikecapi ketika ini," katanya.


Info

Rekod Perkhidmatan Vesawanahan dalam PDRM

- Menyertai pasukan polis sekitar tahun 1977

- Bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sehingga 1980

- Bertugas sebagai anggota polis dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) kini dikenali Pasukan Gerakan Am (PGA) di Tampin sekitar 1981 sehingga 1984

- Bertugas sebagai anggota polis di Cawangan Khas Bukit Aman sekitar tahun 1984 sehingga 2016.

- Tugas terakhir di IPD Wangsa Maju dengan pangkat Sub Inspektor sekitar 2016.