Mayat tanpa identiti ditemui terapung

Anggota Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis membawa naik mayat lelaki tanpa identiti ditemui di perairan Pulau Pasir, Langkawi, pada Jumaat.
Anggota Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis membawa naik mayat lelaki tanpa identiti ditemui di perairan Pulau Pasir, Langkawi, pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR – Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terapung sekitar perairan Pulau Pasir, Langkawi, dekat sini, pada Jumaat.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, mayat tersebut ditemui kira-kira jam 11.45 pagi oleh bot penumpang semasa melakukan aktiviti menyusur paya bakau di perairan tersebut.

Katanya, penemuan mayat terbabit kemudiannya dimaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sub Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi.

Susulan itu, sebuah bot ronda Maritim Malaysia dalam rutin rondaan digerakkan ke lokasi sejurus menerima maklumat daripada MRSC Langkawi mengenai penemuan mayat berkenaan.

“Pihak Maritim Malaysia mengambil mayat di kedudukan 0.6 batu nautika Timur Tanjung Kemarong sebelum dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau memaklumkan, mayat tanpa identiti itu diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Sebelum itu, Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis menerima panggilan melalui MERS 999 berkenaan penemuan mayat terapung oleh pengadu.

Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Balai Polis Langkawi di talian 04-4666222.

Artikel Berkaitan: