Guru cemerlang sekolah rendah bakal dinaikkan gred lebih tinggi

Mohd Radzi bercakap kepada pemberita selepas lawatan ke tapak projek SMK Kota Warisan di Kota Warisan, Sepang hari ini. Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (kanan). - Foto Bernama
Mohd Radzi bercakap kepada pemberita selepas lawatan ke tapak projek SMK Kota Warisan di Kota Warisan, Sepang hari ini. Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (kanan). - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Guru cemerlang sekolah rendah kini berpeluang dinaikkan gred lebih tinggi sehingga DG52 atau DG54, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Menurutnya, kriteria dan perincian akan diumumkan kementerian dalam masa terdekat.

"Kita sedar sudah ramai guru siswazah ditempatkan sekolah rendah iaitu sekitar 90 peratus dan mereka akan diberi ruang sama seperti guru di sekolah menengah," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Warisan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai rungutan guru cemerlang sekolah rendah apabila kuota gred dikatakan setakat GD48 sahaja.

Guru cemerlang disandarkan sebagai pakar rujuk dalam bidang atau mata pelajaran diajar.

Penyebaran ilmu dan pengetahuan guru cemerlang dilihat mampu untuk dimanfaatkan kepada bidang lain seperti penggubal soalan peperiksaan, penulis buku teks dan bahan ilmiah.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata, gred guru penolong kanan akan turut dinaikkan pangkat sekiranya memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"Sekarang ini sudah sampai masanya untuk gred guru-guru siswazah ditingkatkan yang membolehkan mereka tidak boleh duduk di jawatan pentadbiran sekiranya kementerian tidak naikkan gred tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) telah bersetuju untuk meningkatkan gred tersebut.

"Guru penolong kanan tak perlu risau kerana kementerian telah membuat penyusunan semula dalam model baharu struktur dalam organisasi di sekolah.

"Perincian akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya.

Pada Khamis, KPM memutuskan untuk terus mengekalkan jawatan guru besar sebagai pentadbir yang menyandang gred DG52, tanpa perlu kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.